Rabu, 19 September 2007

Melayu Perlu Berubah (Malays Have To Change)

Kita sudah merdeka selama 50 tahun iaitu separuh abad. Bagi manusia yang merancang kehidupannya, umur 50 tahun itu adalah satu keadaan dimana kewangannya stabil, keluarganya hidup dalam aman damai dan makmur, anak-anaknya berjaya dan ada dikalangan mereka yang menjadi jutawan. Justeru itu, sepatutnya negara kita dan masyarakat melayu khususnya sudah mencapai tahap sebagimana manusia yang berjaya yang sudah mencapai umur 50 tahun. Kerajaan yang memerintah juga sepatutnya sudah berjaya mendidik oarng melayu menjadi satu bangsa yang hebat. Bermula dari zaman Bapa Kemerdekaan sehinggalah ke Bapa Pemodenan, teryata hasrat untuk menjadi bangsa melayu satu bangsa yang hebat masih belum tercapai. Bahkan Bapa Pemodenan mengakui bahawa beliau tidak berjaya dalam mengubah minda bangsa melayu. Kalaulah Bapa Pemodenan yang terkenal dengan kepintaran dan kegeligaan otaknya pun mengakui bahawa beliau gagal dalam mengubah minda melayu. Siapa yang akan kita harapkan untuk melaksanakan agenda besar ini.

Selepas peristiwa 13 Mei 1969 iaitu satu peristiwa yang amat dahsyat yang telah mengakibatkan beribu-ribu nyawa terkorban. Rusuhan kaum diantara bangsa cina dan bangsa melayu mengakibatkan wujudnya Dasar Ekonomi Baru (DEB) yang bertindak serampang dua mata, iatu untuk menguatkan kembali perpaduan kaum dan meningkatkan ekonomi bumiputra, khusunya orang melayu. Kita mengharapkan peristiwa dahsyat ini tidak akan berlaku lagi dan ianya menjadi satu pengajaran kepada semua kaum yang ada di Malaysia. Bangsa Cina atau lain-lain bangsa harus ada konsep bersyukur dan menerima apa yang ada. Jikalau membiarkan perasaan tidak puashati menjadi darah beku didalam badan, ia akan mengakibatkan kekecewaan lantas mengemercikkan bunga api yang akan merosakakan perpaduan kaum. Pengorbanan orang melayu yang terkenal dengan sifat lemah lembut yang menerima bangsa-bangsa lain untuk menjadi warganegara Malaysia harus diingati dan diucapkan terima kasih. Setiap kaum di negara kita mestilah tolong menolong dalam perkara kebaikan dan tidak tolong menolong dalam perkara kejahatan. Inilah yang dinyatakan oleh Allah S.W.T didalam Al-Quran. Pimpinan politik yang bersifat chauvanist tidak seharusnya menggunakan sensitiviti kaum ini untuk kepentingan politik masing-masing. Parti DAP yang lantang mengkritik Islam dan kadang-kadang ingin menjadi juara dimata orang bukan Islam seharusnya tidak melampau dalam tindakannya. Pada saya, parti DAP bukan hendak menang dalam pilihanraya tetapi hanya sekadar untuk berkokok bagi masyarakat bukan Islam. Ianya untuk menunjukkan merekalah pejuang sebenar untuk masyarakat bukan Islam sedangkan masyarakat bukan Islam sudah dapat hidup aman damai di negara ini. Selagi parti DAP tidak merubah dasar dan kaedah mereka dalam berpolitik, selagi itu meraka tiadak akan berjaya di Malaysia. Mereka hanya sekadar pencipta keresahan kaum di negara kita yang kita sayangi ini.

Melihat senario yang semakin mencabar, maka wajarlah bangsa melayu berubah sebagaimana yang diungkapkan oleg Profesor Di Raja Ungku Aziz di Wawancara Dengan Mingguan Malaysia yang mahukan melayu perlu berubah. Melayu perlu berubah sama ada di peringkat kepimpinan parti politik, pertubuhan, persatuan, kampung, keluarga dan sebagainya. Perubahan ini mestilah holistik iaitu yang melibatkan perubahan minda dan perbuatan daripada rakyat hinggalah kepada pemimpin serta daripada penarik beca hinggalah kepada pensyarah. Walaupun ketiga-tiga Perdana Menteri telah berusaha merubah pemikiran orang melayu, tetapi masih tidak berjaya. Maka siapa lagi yang kita hendak harapkan. Diri kita sendirilah yang merubah keadaan itu. Seharusnya pemimpin politik orang melayu tidak bersikap tamak haloba dan mementingkan kroni masing-masing. Apa yang penting ialah orang melayu keseluruhannya.Kita tidak mahu orang melayu yang merosakkan bangsanya sendiri sebagaimana peristiwa kejatuhan kerajaan melayu Melaka ke tangan penjajah jahat Portugis.

Pada saya, tidak salah kalau kita mencontohi orang cina dan mewujudkan perkongsian pintar yang mewujudkan situasi menang-menang asalkan ianya tidak bercanggah dengan agama. Orang melayu yang longgar pegangannya kepada Islam mesti berubah kepada orang melayu yang kuat pegangannya kepada Islam. Yang pasti kita perlu berubah untuk mengisi masa depan yang penuh gemilang.

Selasa, 18 September 2007

25 tahun Sabra, Shatila

25 tahun Sabra, Shatila
Oleh ZAINUR RASHID ZAINUDDIN
TARIKH 16 September 1982 mungkin tidak penting bagi kebanyakan orang. Namun bagi penghuni kem pelarian di Sabra dan Shatila, ia lebih daripada segala-galanya. Peritnya tragedi berdarah itu bukan hanya berlaku pada tanggal tersebut sebaliknya ia berlarutan selama tiga hari, menjadikan luka semakin parah.
Biarpun pembunuhan beramai-ramai penghuni kem pelarian Sabra dan Shatila telah berlalu 25 tahun lalu, namun kesannya masih hangat terutama bagi mereka yang terselamat dan kaum keluarga mangsa yang dijadikan korban.
Lantas Ahad lalu beratus-ratus penduduk menyertai perhimpunan di kem pelarian Shatila yang terletak sejajar dengan kem Sabra – 25 tahun lalu menjadi sasaran pembunuhan rambang selama berapa hari oleh tentera Lebanon semasa Israel mengganas di Beirut.
‘Hukum penjenayah’ dan ‘Kami tidak akan lupa’ merupakan antara slogan yang tertera pada sepanduk yang dibawa oleh orang ramai yang menyertai perhimpunan tersebut.
Ketua pergerakan Islam Palestin Hamas ketika berucap pada perhimpunan itu menggesa agar 400,000 pelarian Palestin di Lebanon diberi ‘perlindungan politik untuk menjamin hak serta keselamatan mereka’.
Kira-kira 2,000 rakyat Palestin dan 100 penduduk Lebanon terkorban dalam pembunuhan beramai-ramai di Sabra dan Shatila oleh pasukan tentera Lebanon sambil disaksikan oleh tentera Israel.
Tragedi menyayat hati itu bermula pada 11 September 1982 apabila Menteri Pertahanan Israel, Ariel Sharon yang merupakan arkitek kepada penjajahan Israel ke atas Lebanon mengumumkan terdapat lebih 2,000 pengganas di kem-kem pelarian Palestin di sekitar Beirut.
Bagaikan agenda drama yang kemas dirancang, Presiden Lebanon, Bashir Gemayel, telah dibunuh apabila ibu pejabatnya telah diletupkan dengan bom oleh sekumpulan bersenjata sehari selepas itu. Beliau merupakan Ketua Parti Phalangist Lebanon iaitu sekutu kuat Israel.
Pada 15 September 1982, tentera Israel telah menguasai Beirut Barat dengan mengelilingi serta mengunci mati laluan ke kem Sabra dan Shatila yang padat diduduki oleh pelarian Palestin dan orang awam Lebanon.
Pada sebelah petangnya, kem-kem pelarian ini dikelilingi sepenuhnya oleh kereta kebal dan tentera Israel yang menjaga setiap laluan keluar masuk kem-kem ini dalam rangka memantau setiap orang yang keluar atau masuk ke kem. Laluan ini telah ditutup sepenuhnya pada lewat petang.
Khamis 16 September, Ariel Sharon dan Ketua Turus Tentera Israel telah mengadakan perjumpaan dengan Ketua Unit Militia Phalangist Lebanon, mengundang mereka masuk ke kem pelarian Sabra dan kem Shatila untuk membersihkan ‘sarang pengganas’. Mesyuarat tersebut berakhir pada 3 petang.
Lewat petang pada hari yang sama lebih kurang 150 orang unit pertama Militia Phalangist Lebanon yang merupakan sekutu kuat Zionis Israel masuk ke kem pelarian bersenjatakan senapang, pisau dan kapak.
Menyebabkan
Mereka terus membunuh orang-orang awam dengan mengelar leher, membunuh dengan kapak serta menembak mereka. Ramai di kalangan wanita dan kanak-kanak perempuan dirogol bergilir-gilir terlebih dahulu.
Pada malam yang sama, pasukan tentera Israel menerangkan kawasan kem dengan cahaya api yang membakar menyebabkan kawasan tersebut terang benderang seumpama stadium bola sepak, menurut saksi yang terselamat daripada insiden tersebut.
Dalam masa beberapa jam pertama itu sahaja mereka telah merogol, membunuh dan mencederakan ratusan orang awam yang kebanyakannya adalah pelarian Palestin terdiri daripada kanak-kanak, wanita dan orang-orang tua yang telah dikepung di dalam kem-kem tersebut.
Pada pukul 11 malam, satu laporan telah sampai ke ibu pejabat tentera Israel di Beirut Timur yang mengatakan sekurang-kurangnya 300 orang telah dibunuh dalam tempoh 5 jam pertama.
Di antara 36 hingga 48 jam kemudiannya, Militia Phalangist telah membunuh kebanyakan penduduk yang menghuni kem pelarian tersebut sementara tentera Israel mengawal laluan keluar kem dan terus memberikan sokongan padu lagi maksimum terhadap pembunuhan ini.
Pada Jumaat 17 September, laluan ke kem Sabra dan kem Shatila masih ditutup namun ada beberapa pemerhati bebas berjaya melepasi sekatan ketat tentera Israel.
Di kalangan mereka adalah seorang wartawan dan seorang pegawai diplomat dari Norway, Gunnar Flakstad yang menyaksikan operasi pembersihan oleh Militia Phalangist yang sedang membuang mayat-mayat dari rumah yang musnah dihancurkan.
Militia Phalangist tidak keluar dari kem pada jam 5 pagi Sabtu 18 September sebagaimana yang diarahkan. Mereka terus melakukan pembunuhan sehinggalah mereka meninggalkan kem Sabra dan kem Shatila pada jam 8 pagi 18 September 1982.
Bergelimpangan
Para wartawan asing yang dibenarkan masuk ke kem pada Sabtu menyaksikan ratusan mayat masih bergelimpangan di sekitar kawasan kem dan banyak di kalangan mayat ini yang dikelar-kelar anggota badannya.
Di antara kata-kata saksi pelarian Palestin yang sempat menyelamatkan diri termasuklah:-
* “Tentera-tentera tersebut pergi dari satu rumah ke satu rumah dan memberikan amaran akan meletupkan rumah sekiranya mereka tidak keluar dari persembunyian.”
* “Ada saksi yang terselamat mendengar bahawa tentera Phalangist memberitahu satu sama lain supaya menggunakan kapak sahaja kerana bunyi senapang akan menyebabkan orang ramai sedar dan akan melarikan diri.”
* “Mereka membunuh abang ipar saya di depan mata kepala saya sendiri, saya melihat mereka menembak orang ramai. Mereka membunuh kesemuanya dan saya terus melarikan diri.”
Tidak diketahui jumlah yang terbunuh secara tepat kerana sumber rasmi dari Israel mengumumkan bahawa ‘hanya’ 700 orang awam terbunuh. Sumber rasmi dari Lebanon pula menjangkakan kira-kira 1,900 orang awam terbunuh.
Sumber berita Palestin pula mengatakan bahawa antara 3,000 dan 3,500 pelarian Palestin telah dibunuh; sebanyak 1,000 hingga 1,500 hilang dan kira-kira 1,000 orang yang lain telah melarikan diri.
Siapakan arkitek tragedi Sabra dan Shatila ini? Tidak lain dan tidak bukan adalah Ariel Sharon yang merupakan bekas Perdana Menteri Israel. Beliaulah pemimpin pengganas Yahudi yang pernah berkata:
* “Saya berharap akan dapat menghalau keluar semua orang Palestin dari Gaza dan Tebing Barat ke Jordan.”
(New York Times, 17 Mei 1982)
* “Orang Arab yang baik adalah orang Arab yang telah mati.”
(Ha‘aretz, 25 Februari 1983).
* “Saya berasa sedikit kesal terhadap tragedi tersebut tetapi kenapa perlu saya memohon maaf atau berasa bertanggungjawab terhadapnya.”
(The Accused BBC – Panorama, 17 Jun 2001).
Selepas 25 tahun, kem Shatila yang kini dihuni oleh lebih 30,000 pelarian Palestin merupakan penempatan pelarian ketujuh besar daripada keseluruhan pelarian Palestin di Lebanon yang mencecah 500,000 orang.
Rata-rata mereka hidup dengan penuh kepayahan dan keperitan. Rumah atau penempatan mereka kecil dan teramat sempit untuk jumlah keluarga dan masyarakat yang besar.
Bekalan air dan elektrik adalah sangat minimum dan 80 peratus daripada kalangan penghuni di situ miskin dan terpaksa berlapar setiap hari.
Kajian statistik Institut Zaitounah yang berpangkalan di Beirut, mendapati bahawa hanya 14 peratus di kalangan ratusan ribu anak-anak pelarian ini berjaya menamatkan persekolahan menengah mereka.
Majoriti golongan dewasa pula adalah penganggur kerana hak asasi mereka untuk menyertai 72 jenis pekerjaan di Lebanon telah dinafikan.
Tiada ayat atau kata-kata yang boleh menggambarkan keadaan sebenar mereka melainkan mungkin sukar, payah, perit, derita, pedih dan kelam.
Hakikatnya, kesan psikologi pembunuhan beramai-ramai di Sabra dan Shatila menghitamkan lagi masa depan ribuan pelarian di kedua-dua kem itu.
Kehidupan mereka semakin ditindas manakala hak serta keselamatan mereka langsung tidak dipedulikan.
Tidak mustahil jika satu hari nanti tragedi 25 tahun lalu akan berulang namun dalam bentuk yang berbeza iaitu penindasan psikologi kemanusiaan yang kesannya lebih parah.

* DR. ZAINUR RASHID ZAINUDDIN ialah sukarelawan Aman Palestin yang menyertai rombongan ke Sabra dan Shatila pada Mei 2007.

Khamis, 6 September 2007

AGAMA YANG BENAR

KATAKANLAH: Patutkah kita menyeru serta menyembah yang lain dari Allah, sesuatu yang tidak dapat memberikan manfaat kepada kita dan tidak dapat mendatangkan mudarat kepada kita; dan patutkah kita dikembalikan undur ke belakang (menjadi kafir musyrik) setelah kita diberi hidayah petunjuk oleh Allah (dengan agama Islam), seperti orang yang telah disesatkan oleh syaitan-syaitan di muka bumi (di tempat yang lengang) dalam keadaan yang bingung sedang ia pula mempunyai sahabat yang mengajaknya ke jalan yang lurus (dengan berkata kepadanya):

“Marilah bersama-sama kami”. Katakanlah: “Sesungguhnya petunjuk Allah itu sebenar-benar petunjuk, dan kita diperintahkan supaya berserah diri kepada tuhan yang memelihara dan mentadbir sekelian alam”.
(al-An’am: 71)


HURAIAN


Ayat ini diturunkan untuk menolak permintaan Abdurrahman Bin Abu Bakar al-Siddiq agar bapanya Saidina Abu Bakar al-Siddiq kembali menganut ajaran yang dibawa oleh nenek moyang mereka yang kafir.


Lantas Allah s.w.t. menyuruh Nabi Muhammad s.a.w. menjawab kembali berdasarkan firman-Nya.
Ayat ini juga sekali gus menjawab permintaan musyrikin yang lain yang meminta agar ahli keluarga mereka kembali syirik. Tuhan yang mereka sembah yang selain dari Allah s.w.t. itu hakikatnya tidak mampu memberi sebarang manfaat jika disembah atau memberikan sebarang mudarat jika tidak disembah.


Allah s.w.t. memberikan satu perumpamaan untuk mereka yang bersifat sedemikian iaitu seperti seseorang yang disesatkan oleh syaitan di satu tempat yang lengang sedangkan ada sahabat mereka yang mengajak ke jalan yang betul tetapi mereka tidak mampu mengikutnya.
Inilah perumpamaan yang Allah s.w.t. tunjukkan kepada manusia yang sesat sedangkan mereka menyangka mereka adalah golongan yang betul dan golongan yang mendapat petunjuk. Ibnu Abbas mengatakan bahawa mereka tidak akan merasakan kesesatan mereka itu melainkan setelah mati. Alangkah ruginya seseorang yang merasakan dirinya betul sedangkan dia berada di pihak yang salah.


KESIMPULAN

Hendaklah kita berpegang teguh dengan agama Islam yang kita anuti ini kerana kesalahan dalam memilih agama akan menyebabkan penderitaan yang tiada akhirnya. Agama Islam adalah satu agama yang benar dan agama yang lain itu adalah salah.

Rabu, 5 September 2007

Bersama YaPEIM: Islam galak individu berani merantau cari rezeki halal

ISLAM berjaya merubah pandangan sesetengah pihak yang beranggapan pekerjaan sebagai satu yang rendah dan hina. Malah, Islam menjunjung tinggi nilai kerja walau apa pun bentuknya dan mencela pengangguran atau menumpang hidup kepada orang lain. Islam menerangkan kepada manusia bahawa bekerja keras memperoleh rezeki halal adalah sesuatu yang mulia, walaupun sebahagian manusia memandangnya sebagai sesuatu yang hina.
Memang ada kumpulan yang menganggap pekerjaan hina seperti sebahagian Arab zaman dulu hingga sanggup menghina pekerjaan serta usaha orang lain. Seorang penyair pada zaman itu pernah menghina musuhnya dengan mengatakan bahawa datuknya bekerja sebagai tukang besi. Ada antara mereka pula suka menjadi pengemis daripada melakukan pekerjaan dianggap tidak sesuai dengan kelayakannya.Banyak sebab mengapa ada yang tidak mahu bekerja dan antaranya kerana tidak mendapatkan peluang bekerja di kampung halamannya. Disebabkan tidak suka tinggal berjauhan daripada keluarga.Kepada mereka yang berfikiran seperti ini, Islam datang memberi galakan supaya mereka berani merantau. Islam menerangkan kepada mereka bahawa bumi Allah ini luas dan Allah tidak menaburkan rezeki pada satu kawasan tertentu saja. Jika seseorang meninggal dalam keadaan berjauhan daripada kaum keluarga dan kampung halamannya, Allah akan mengukur jarak antara tanah kelahiran dengan tempat ia dikebumikan. Kelak di syurga, Allah melimpahkan kepadanya pahala sejauh jarak itu.
Ummu Salamah pernah ditanya perihal anaknya merantau ke penjuru dunia, sehingga ada yang meninggal di timur dan ada pula yang menemui ajal di barat. Ummu Salamah menjawab: “Mereka dijauhkan cita-cita dan harapan.”Sebahagian manusia enggan bekerja dan berusaha kerana menggantungkan hidupnya kepada agihan harta zakat, sedekah diberikan orang ramai. Bagi tujuan itu, dia sanggup meminta-minta kepada orang lain dengan mengaitkan perasaan aib, sedangkan tubuhnya sihat dan dia mampu berusaha mencari nafkah. Inilah fenomena menyedihkan yang sering kita temui di negara Islam.Berdasarkan kesedaran itu Rasulullah SAW pernah menyelar sikap dua orang yang datang meminta bahagian harta zakat kepadanya. Baginda berkata: “Di dalam harta zakat ini tidak ada peruntukan bagi orang kaya dan orang yang kuat (mampu berusaha).” (Riwayat Ahmad, Abu Daud dan an-Nasai)Dengan kenyataan itu Rasulullah SAW menjelaskan penganggur yang malas tidak berhak menerima harta zakat. Larangan Islam terhadap perbuatan meminta juga sangat keras dan tegas.Imam Bukhari dan Muslim meriwayatkan satu hadis daripada Ibnu Umar, bahawa Baginda SAW bersabda yang bermaksud: “Seseorang yang terbiasa meminta-minta akan datang pada hari kiamat dan tidak ada secebis daging pun pada wajahnya.” (Riwayat Bukhari dan Muslim)Perbuatan meminta-minta juga boleh menzalimi orang yang diminta. Orang yang diminta akan mengalami kesusahan kerana memberikan hartanya kepada orang yang meminta. Adalah menjadi kewajipan pemerintah memberi peringatan kepada individu yang suka hidup merempat dalam masyarakat, sedangkan ia sihat dan mampu bekerja. Juga kepada setiap orang yang hidup dengan mengharap simpati orang lain dan berasa berhak mengambil harta zakat padahal dia tidak menerimanya. Ada juga golongan yang tidak mahu bekerja kerana tidak mampu menguruskan pekerjaannya sendiri. Terlebih lagi dia tidak memiliki sebarang kemahiran dan ilmu pengetahuan, walaupun secara fizikal dia mampu bekerja. Islam mewajibkan kita membantu golongan seperti ini dan memberinya peluang bagi mengerjakan pekerjaan sesuai dengan dibantu anggota masyarakat pada amnya serta pemerintah khasnya. Islam mengajar orang miskin untuk menentang kemiskinan dengan memanfaatkan seluruh potensi yang ada padanya, walaupun nilainya tidak seberapa. Islam juga memerintahkan mereka melihat kekuatan yang ada pada diri sendiri, betapapun kecilnya kekuatan itu.Islam tidak membenarkan seseorang meminta-minta sedangkan dia memiliki sesuatu yang boleh dimanfaatkan untuk menyara hidupnya. Setiap pekerjaan yang boleh mendatangkan rezeki halal adalah pekerjaan mulia, walaupun pekerjaan itu hanya mengumpul dan menjual kayu api.Jelaslah bahawa setiap individu Muslim wajib bekerja dan berusaha mencari rezeki. Ia wajib bekerja tanpa memandang jenis pekerjaan, sama ada dalam bidang pertanian, perkilangan, perniagaan, pentadbiran, penulisan atau profesion lain.