Rabu, 12 Disember 2007

UNDP nafi kaum India paling miskin

KUALA LUMPUR: Tuduhan Barisan Bertindak Hak-hak Hindu (Hindraf) bahawa kaum India adalah kumpulan etnik paling miskin di Malaysia tidak benar, kata wakil Program Pembangunan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNDP), Dr Richard Leete. Beliau berkata, kajian UNDP di Malaysia, Singapura dan Brunei mendapati kaum peribumi di Sabah dan Sarawak yang berstatus Bumiputera, serta penduduk pedalaman Kelantan, Terengganu dan Kedah, adalah antara kelompok paling miskin dalam negara. “Kemiskinan paling serius di Malaysia bukan di kalangan kaum India, tapi komuniti pribumi di Sabah dan Sarawak, serta penduduk pedalaman di Kelantan, Terengganu dan Kedah yang kebanyakannya terbabit dalam sektor pertanian.
“Malaysia berjaya mengurangkan kadar kemiskinan kepada 5.7 peratus pada 2004, berbanding 49 peratus pada 1970 dan daripada jumlah yang miskin, 8.3 peratus ialah Bumiputera, 2.9 peratus (India) dan 0.6 peratus (Cina),” katanya selepas pelancaran laporan kemiskinan di negara ini terbitan bersama Unit Perancang Ekonomi (EPU) di Jabatan Perdana Menteri (JPM) dan UNDP bertajuk ‘Malaysia - Mengukur dan Memantau Kemiskinan dan Ketidaksamarataan di Malaysia, di sini, semalam. Turut hadir, Penasihat Badan Bertindak Pelaksanaan Negara (NITF), Datuk Dr Zainal Aznam Yusof dan Pengarah Pusat Pengajian Kemiskinan dan Pembangunan di Fakulti Ekonomi dan Pentadbiran Universiti Malaya (UM), Prof Madya Dr Sulochana Nair. Leete berkata, mengikut UNDP, kadar kemiskinan kanak-kanak di bawah 15 tahun dicatatkan paling tinggi di Sabah (41.6 peratus), Terengganu (25.9 peratus), Kelantan (18.5 peratus) dan Sarawak (14.9 peratus) berbanding 0.8 peratus (Pulau Pinang) dan 2.6 peratus (Selangor).
“Salah satu sebab sesebuah isi rumah itu kekal berada dalam belenggu kemiskinan adalah disebabkan perangkap demografi dengan keluarga yang miskin cenderung mempunyai bilangan anak yang ramai,” katanya. Sementara itu, Ketua Pengarah EPU, Datuk Seri Dr Sulaiman Mahbob, berkata kerajaan kini menumpukan usaha membasmi kemiskinan di kalangan kanak-kanak dan wanita bagi membolehkan mereka keluar daripada belenggu yang diwarisi daripada keluarga. “Tumpuan membasmi kemiskinan sebelum ini lebih bersifat makro tetapi kita sedar kumpulan khusus seperti wanita dan kanak-kanak terutamanya tidak sepatutnya dipinggirkan dan kita perlu mencuba membasmi kemiskinan mereka,” katanya. Sulaiman berkata, antara kaedah boleh digunakan bagi membasmi kemiskinan adalah menerusi usaha membawa program pembangunan di kawasan dikenal pasti daerah miskin di negara ini.
“Pembangunan koridor ekonomi adalah antara kaedah boleh digunakan bagi membasmi kemiskinan di negara ini. Kita perlu membawa lebih banyak pembangunan,” katanya.