Isnin, 19 November 2007

Sekilas Zaman Kanak-Kanak Dan Remaja Sebagai Renungan

Zaman kanak-kanak adalah satu zaman yang penuh dengan keseronokan. Rutin harian adalah bermain dengan kawan-kawan. Tidak perlu memikirkan soal kewangan, pinjaman kereta, pinjaman perumahan, kad kredit dan sebagainya. Selepas balik dari sekolah, terus saja makan nasi dan keluar bermain. Hubungan kawan-kawan di zaman kanak-kanak adalah sangat erat. Walaupun seringkali bertengkar disebabkan perkara remeh temeh, ia tidak berpanjangan. Esok lusa berbaiklah mereka umpama pertengkaran itu mencurah air ke daun keladi. Itulah uniknya zaman kanak-kanak. Apabila malam menjelma, terus mandi, makan, mengaji Quran, tengok television dan tidur. Itu adalah realiti bagi masyarakat melayu di kampung. Apabila tiba musim menuai, mereka ke sawah bersama ibu bapa masing-masing. Bukan untuk menolong tetapi menikmati keseronokan menangkap ikan di sawah padi, mandi di terusan dan bermain layang-layang. Apabila habisnya musim menuai, tibalah pesta wau dan menangkap belalang. Bagi masyarakat melayu Kelantan dahulu, apabila selesai menuai padi, mereka akan beramai-ramai pergi menangkap belalang di sawah padi pada malam hari. Belalang ini akan digoreng dan boleh dimakan dengan nasi atau dimakan begitu sahaja. Rasanya sedap dan menyelerakan. Tetapi kini, tidak ada lagi pesta wau dan menangkap belalang seperti dulu. Kanak-kanak di zaman ini tidak lagi berminat untuk ke sawah menangkap ikan dan bermain wau. Kebanyakan masyarakat melayu di kampung tidak merancang untuk masa depan anak-anak mereka. Apa yang mereka tahu ialah menyuruh anak mereka pergi ke sekolah. Mereka tidak pernah tanya kerja rumah yang diberi oleh guru, menyuruh baca buku untuk masa-masa yang ditentukan dan sebagainya. Mereka lebih suka menyerahkan tugas tersebut kepada guru-guru di sekolah. Kejayaan kanak-kanak dalam akademik adalah bergantung kepada diri mereka sendiri. Kalau kanak-kanak itu cerdik, insyallah mereka akan berjaya dalam akademiknya. Keadaan di kampung yang lebih memberi ruang kanak-kank bermain menyebabkan tidak ramai yang berjaya dalam pelajaran. Justeru itu, sudah tiba masanya masyarakat kampung membuat anjakan paradigma dalam kehidupan mereka. Daripada ibu bapa yang tidak mementingkan pelajaran anak-anak kepada ibu bapa yang mementingkan pelajaran anak-anak. Daripada ibu bapa yang tidak merangka pelan pembelajaran anak-anak kepada ibu bapa yang merangka pelan dan jadual pembelajaran anak-anak. Daripada ibu bapa yang tidak menitikberatkan pengajian Al-Quran anak-anak kepada ibu bapa yang menitikberatkan pengajian Al-Quran anak-anak. Apa yang penting kehidupan masyarakat melayu di kampung mesti diubah. Ibu bapa seharusnya memandang ke masa depan. Apa akan jadi kepada anak mereka di masa depan. Bagi yang berharta, tidak cukup meninggalkan harta untuk anak-anak mereka habiskan. Yang penting ialah mereka meninggalkan ilmu pengetahuan kepada anak-anak mereka supaya anak-anak itu boleh berdikari bila besar nanti. Harta akan kehabisan apabila anak yang tidak berilmu ini tadi menjualnya untuk meneruskan kehidupan atau membeli kereta dan sebagainya. Ilmu tidak akan habis, bahkan ianya akan memberi keupayaan kepada anak ini tadi untuk bersaing dan terus hidup mencari rezeki secara berdikari. Dalam dunia yang penuh persaingan ini, keupayaan dan ilmu pengetahuan adalah amat penting sekali. Dalam kelas, kanak-kanak ini mesti menumpukan perhatian sepenuhnya kepada apa yang guru ajar. Penumpuan yang tajam akan menjadikan kanak-kanak ini akan mengingati apa yang guru ajar tanpa perlu membuat ulangkaji.
Apabila kanak-kanak menempuh alam remaja iaitu dari sekolah rendah ke sekolah menengah. Kanak-kanak ini akan meneruskan perjalanan hidup mereka samada berjaya atau gagal. Ada kanak-kanak yang berjaya dari segi akademiknya di sekolah rendah akan gagal apabila mereka di sekolah menengah. Perubahan persekitaran dan rasa ingin menjadi hebat akan menyebabkan remaja melakukan perkara-perkara yang tidak sepatutnya mereka lakukan. Pengaruh kawan-kawan adalah amat kuat sekali di zaman remaja. Ada yang terpengaruh dengan hisap rokok, ponteng sekolah, bertumbuk dan yang paling parah sekali ialah menghisap ganja dan menghidu gam. Zaman remaja adalah satu zaman yang amat mencabar. Jikalau mereka berjaya melalui zaman ini, insyaallah mereka akan berjaya apabila besar nanti. Ini adalah kerana zaman ini adalah satu zaman yang amat mencabar. Ada juga dikalangan mereka yang nakal itu berjaya. Maksud nakal disini ialah remaja yang suka belajar tetapi hisap rokok, ponteng, datang lewat dan sebagainya tetapi mereka tidak terjerumus dalam tindakan yang boleh menyebabkan hidupmereka hancur seperti hisap ganja. Ada dikalangan mereka yang di sekolah dahulu hebat seperti ayam jantan, suka bergaduh dan hisap ganja, akhirnya meninggal dunia tidak sampai umur 30 tahun. Ada dikalangan mereka yang meninggal dunia dalam linkungan umur 20-an. Kita rasa amat sedih dengan peristiwa ini, yang pertama ialah mereka meninggal dunia dalam keadaan yang hina dan yang kedua ialah mereka tiada sumbangan apa-apa kepada agama, bangsa dan negara. Ada ketikanya jenazah mereka enggan dimandikan oleh orang. Ini adalah kisah yang benar-benar berlaku dalam masyarakat kita. Kehidupan dan kematian mereka dalah dalam keadaan hina dina. Kehidupan mereka itu menyusahkan ibu bapa mereka, masyarakat dan negara. Apakah malang nasib bagi mereka yang tidak mahu berfikir, tidak mahu menghayati agama dan tidak mahu berfikir untuk masa depan. Justeru itu, pentingnya ibu bapa mendidik anak-anak mereka dengan ajaran agama. Anak-anak harus dipukul jikalau tidak mahu sembahyang apabila usia mereka mencapai 10 tahun. Inilah ajaran agama kita, agama yang benar dan sempurna. Remaja yang mentaati agama tidak akan gagal, mereka akan berjaya mengharungi zaman yang menyeronokkan ini. Tetapi malang bagi kita sebab ramai ibu bapa yang tidak mengambil berat akan pendidikan anak-anak mereka. Perubahan secara menyeluruh perlu dilakukan supaya bangsa Melayu ini tidak terpinggir di tanah airnya sendiri. Perubahan minda, pemikiran, budaya dan kerja harus dilakukan demi kesinambungan talian hayat bangsa Melayu dimasa depan. Tidak ramai remaja Melayu yang rajin mengulangkaji pelajaran untuk kejayaan mereka dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM). Apa yang remaja Melayu di kampung tahu selain daripada berseronok dan bermain dengan rakan-rakan mereka. Mereka tidak pernah memikirkan masa depan mereka. Apa yang akan terjadi sekiranya mereka tidak berusaha bersungguh-sungguh dalam pelajaran mereka. Ada juga remaja Melayu di kampung yang rajin tetapi ianya tidak ramai. Maka segelintir sahaja remaja Melayu yang berjaya dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM). Bagi yang berjaya mereka melanjutkan pengajian mereka di IPTA dan bagi yang tidak berjaya mereka terpaksa bekerja kilang dan sebagainya. Yang menyedihkan lagi ialah mereka yang gagal ini tidak bekerja, mengharapkan bantuan ibu bapa mereka dan terjebak dengan najis dadah.

Ahad, 11 November 2007

Alahai Malaysia Sebuah Negara Islam

Pada awal November 2007, saya telah pergi berkursus di Pulau Langkawi. Satu pulau lagenda yang dikaitkan dengan Mahsuri, kononnya berdarah putih dan sumpahan beliau akan berakhir sampailah tujuh keturunan. Mengapa Mahsuri sanggup bersumpah sampai tujuh keturunan. Inilah yang memelikkan, sepatutnya Mahsuri sumpah oarang yang jahat sahaja, tidaklah sampai anak cucu penduduk Pulau Langkawi merasai akibatnya. Maka sampai ke hari ini penduduk Pulau Langkawi ini terpaksa berdepan dengan pelbagai rasukan dunia yang jahat. 

Di Pulau ini, kita boleh melihat biawak putih yang bergelimpangan di tepi pantai dan biayak putih biasanya diimpot daripada negara barat. Harga rokok dan arak yang murah, iaitu separuh lebih murah daripada tanah besar Malaysia. Apa yang hendak saya perkatakan ialah syarat yang dikenakan oleh Bay View Hotel kepada pekerja-pekerja perempuan, iaitu hendaklah memakai SKIRT. Saya sempat bertanya kepada salah seorang pekerjanya, iaitu seorang gadis melayu muslim, adakah pemakaian skirt ini diwajibkan? Jawapan beliau ialah Ya. Ini bermakna hotel ini telah menafikan hak wanita Islam untuk mengamalkan tuntutan agama Islam. Ini merupakan satu penghinaan kepada Agama Islam, lebih-lebih lagi Agama Islam sebagai agama rasmi negara Malaysia. Ia juga merupakan satu dikriminasi kepada umat Islam di Malaysia. Mana dia Menteri di JPM yang bertanggungjawab mengenai Agama suci ini? Mana dia pemimpin negara yang melaung-laungkan negara Malaysia sebagai sebuah negara Islam? Mana dia pemuda UMNO yang mengucup keris? Mana dia PAS? Mana dia KEADILAN? Mana dia JAKIM? Mana dia Mufti? Mana dia Kerajaan Negeri Kedah? Mana dia kehebatan Umat Islam di Malaysia? 

Perkara ini amat mengecewakan dan amat menyedihkan. Adakah kita rela melihat gadis dan wanita melayu Islam di negara kita mengorban maruah mereka, lebih-lebih lagi mengorbankan tuntutan Islam demi mencari sesuap nasi. Sanggupkah kita melihat gadis dan wanita Melayu Islam ini memakai skirt dan tidak bertudung melayan manusia lain di hotel tersebut dalam keadaan sebegitu rupa.