Rabu, 29 Oktober 2008

Kes Saya Dengan Syarikat Strata Merge Sdn Bhd Dah Selesai

Untuk makluman tuan/puan, kes saya dengan syarikat Strata Merge Sdn Bhd dah pun selesai dan saya lihat kemajuan pembinaan rumah di Desa Bukit Ilmu, Machang, Kelantan bertambah baik. Dimaklumkan akan siap pada Januari 2009. Walaubagaimanapun, kita mengharapkan semoga rumah di Desa Ilmu tersebut cepat siap dan yang penting ialah perniagaan itu jelas dan mengikut peraturan yang ditetapkan. Kalau ada masalah tidak salah jikalau pemaju beritahu pembeli secara jelas dan terang umpamanya laporan arkitek terhadap sesebuah rumah kerana ianya melibatkan potangan gaji pembeli. Apapun, saya ucapkan terima kasih kerana rumah saya hampir siap sepenuhnya walaupun dah lama bayar ansuran bulanannya, kini menunggu pemasangan wayar elektrik, mangkuk tandas, halaman rumah dan benda-benda teknikal yang lain. Terima kasih.

Letihnya Melayan Agen MLM

Semalam pintu rumah diketuk, jam menunjukkan pukul sebelas malam. Seorang kawan yang sama-sama belajar dengan saya dahulu semasa di Universiti datang berziarah. Bersama-sama beliau ialah dua orang suami isteri yang saya dah agak mungkin agen MLM. Semasa berjumpa dengannya dulu saya dah bagitau tak berminat dengan perniagaan MLM walaupun ianya memberi pulangan yang lumayan dengan syarat bekerja keras. Si anu ini duduk dirumah saya bercerita pasal MLM hingga pukul satu pagi. Dalam hati saya berkata bilalah si anu nak balik sebab mata dah mengantuk dan esok masih ada lagi kerja hendak diselesaikan. Ucapan penggulungan Menteri untuk perbahasan Bajet 2009 belum siap lagi. Kasihan isteri saya terpaksa melayan tetamu walaupun kelihatan dia dah mengantuk. Dah banyak kali si anu ini datang dengan keadaan sedemikian rupa dan setiap kali itulah kami kena bersabar dengan karenah si anu ini. Walaupun kita mengejar duit dan kekayaan, namun pada saya kita mesti ada akhlak dan menghormati tuan rumah. Tidak usahlah kita memaksa orang lain untuk menyertai MLM dengan tidak putus asa manjalankan kempen. Walaupun senarai seseorang dah dimasukkan dalam list untuk MLM tetapi hormatilah hak orang lain. Mesti ada batasan dalam berkempen. Ziarah itu adalah amalan mulia dalam Islam tetapi bila ada disebaliknya sesuatu ianya telah mencemar amalan yang mulia ini. Letih bila manusia berlumba-lumba mengejar kemewahan dunia....

Ahad, 12 Oktober 2008

Soalan Parlimen KKLW Adalah No 5

Aku ke cyber cafe sekejap untuk check soalan parlimen KKLW jatuh nombor berapa. Sibuk dengan program dan mesyuarat hingga terlupa menelefon Parlimen. Bila tengok soalan KKLW jatuh nombor 5. Aduh!!! Terpaksalah Menteri atau Timbalan Menteri kena jawab. Aku hanya berharap semoga Timbalan Menteri KKLW hadir esok untuk jawab soalan seperti dibawah ini.
Soalan nombor 5 :
Dr. Mohd Puad bin Zarkashi [ Batu Pahat ] minta MENTERI KEMAJUAN LUAR BANDAR DAN WILAYAH menyatakan usaha untuk merapatkan 'jurang digital' di luar bandar khususnya cadangan untuk memperkenalkan komputer murah yang dikenali sebagai 'komputer makcik'.
Esok mesti awal ke parlimen untuk selesaikan perkara ini.

Khamis, 9 Oktober 2008

Majlis Hari Raya di Rumah Y.B. Senator Tan Sri Muhammad bin Muhammad Taib

Majlis Hari Raya akan diadakan di kediaman Y.B. Senator Tan Sri Muhammad bin Muhammad Taib pada 10 Oktober 2008, hari Jumaat daripada pukul 3.00 petang hingga 10.00 malam. Semua rakyat negeri Selangor dijemput ke majlis tersebut. Juga dijemput seluruh pimpinan masyarakat negeri Selangor. Peristiwa ini adalah penting dalam suasana Pak Lah yang telah mengumumkan bahawa beliau tidak akan mempertahankan jawatannya serta pergolakan dalam UMNO yang ingin menduduki kerusi nombor satu dan nombor dua. Berkemungkinan besar Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri Selangor ini akan bertanding jawatan penting dalam UMNO. Harapan kita ialah beliau boleh membawa perubahan dalam UMNO yang tengah nazak ini. Pimpinan yang mempunyai pengalaman amat perlu dalam memperkasakan kembali UMNO yang sakit tenat ini supaya parti ini tidak menjadi peninggalan sejarah sejak tahun 1946. UMNO hendaklah kembali kepada perjuangan asal parti supaya ianya tetap relevan sebagai parti yang membela orang Melayu dan pengimbang kepada keharmornian kaum di Malaysia. Kekuatan Islam dan pengisiannya harus diberi nafas dalam UMNO dan perjuangannya harus berlandaskan kepada agama Islam yang benar ini.

Selasa, 7 Oktober 2008

Keputusan Abdullah esok atau lusa

KUALA LUMPUR 6 Okt. – Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi akan mengumumkan pada esok atau Rabu ini keputusannya sama ada mahu mempertahankan jawatan Presiden UMNO pada pemilihan parti itu Mac depan.
Perdana Menteri berkata, beliau juga akan menghadiri mesyuarat Dewan Tertinggi Barisan Nasional (BN) Rabu ini bagi memaklumkan kepada para pemimpin parti komponen BN mengenai tindakan yang bakal beliau ambil.
“Rakan-rakan dalam BN telah memberikan petunjuk bahawa mereka mahu tahu apa yang bakal berlaku dan apakah pelan peralihan kuasa itu kerana Presiden UMNO akan menjadi Pengerusi BN,” ujarnya.
Abdullah berkata demikian kepada pemberita pada sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat Panel Penasihat Antarabangsa (IAP) BioMalaysia 2008 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur di sini hari ini.
Mesyuarat tersebut turut disertai Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan beberapa menteri Kabinet.
Ditanya lebih lanjut mengenai tarikh spesifik untuk beliau mengumumkan kedudukannya dalam UMNO, Perdana Menteri mengulangi jawapan yang sama.
“Esok atau lusa,” ujar beliau.
Mengenai tindakan beberapa pemimpin UMNO mengumumkan keinginan untuk bertanding jawatan Timbalan Presiden UMNO walaupun beliau belum membuat keputusan berhubung penglibatannya dalam pemilihan parti, Abdullah berkata, ia merupakan hak calon-calon berkenaan.
Bagaimanapun, beliau yakin jumlah calon yang menawarkan diri untuk bertanding jawatan timbalan presiden akan berkurangan menjelang pemilihan Mac depan.
“Anda tunggulah. Lepas tidak berapa lama, akan ada beberapa nama yang berundur dan tinggal satu atau dua sahaja (yang mahu bertanding),” katanya.
Setakat ini, mereka yang telah menawarkan diri secara terbuka untuk bertanding jawatan Timbalan Presiden UMNO ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi; Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Mohd. Ali Rustam dan Ketua UMNO Bahagian Pulai, Datuk Nur Jazlan Mohamed.
Seorang lagi pemimpin yang disebut-sebut berminat untuk bertanding jawatan itu ialah Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri itu, bagaimanapun, hanya akan membuat keputusan muktamad selepas Abdullah mengumumkan pendiriannya berhubung peralihan kuasa dalam UMNO.
Pada sidang akhbar yang sama, Perdana Menteri menegaskan bahawa beliau akan menunaikan semua janjinya selama ini sebelum berundur daripada kerajaan.
Perdana Menteri juga berkata, reformasi badan kehakiman umpamanya akan tetap diteruskan walaupun bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Zaid Ibrahim telah meletakkan jawatan.
Katanya, semua janji perubahan termasuk pembaharuan badan kehakiman yang terkandung dalam manifesto Pilihan Raya Umum BN adalah daripada dirinya, justeru beliau bertanggungjawab memastikan ia dilaksanakan.
“Ada kerja yang perlu disiapkan. Pembaharuan yang saya janjikan kepada rakyat pastinya perlu saya buat,'' kata beliau.
Ditanya oleh wartawan asing mengapa Malaysia masih menggunakan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) ke atas ahli politik dan wartawan, beliau berkata, penguatkuasaan undang-undang itu dilakukan dengan cermat dan mengikut keperluan.
“Soalan ini sudah ditanya berulang kali. Sudah pasti ada sebab mengapa seorang menteri yang bertanggungjawab terhadap keselamatan dalam negara mengambil tindakan seumpama itu.
“Sebenarnya ada negara lain di dunia yang mempunyai undang-undang yang lebih tegas daripada ISA, setiap negara mempunyai kaedah tersendiri untuk menjaga keselamatannya," kata beliau.
Abdullah berkata, pengalamannya sebagai Menteri Keselamatan Dalam Negeri memperlihatkan bahawa ISA adakalanya menjadi undang-undang terbaik yang boleh digunakan untuk menjaga keamanan negara.