Jumaat, 25 April 2008

Pembangunan Membazir - Syak Wasangka Rakyat Terengganu Ada Asasnya

Ditulis oleh SM Noor

Saturday, 29 March 2008

Kuala Terengganu, 28 Mac - Syak wasangka rakyat Terengganu yang memandang serong keatas pembangunan ‘Monsoon Cup’, Pulau Duyong dan Pulau Wan Man, kini cukup berasas
Demikian dinyatakan Dato’ Abu Bakar Chik, Timbalan Pesuruhjaya PAS Terengganu apabila diminta mengulas
kenyataan Dr. Mahathir yang menuduh Perdana Menteri Abdullah Ahmad Badawi mempengaruhi bekas Menteri Besar, Idris Jusoh melakukan kesalahan dalam membelanjakan Wang Ehsan secara berlebih-lebihan
Beliau berkata kesalahan yang dilakukan oleh Idris dan Perdana Menteri itulah yang menyebabkan Sultan Mizan Zainal Abidin enggan memberi perkenan pelantikan semula Idris sebagai Menteri Besar.
Beliau berkata Abdullah Ahmad Badawi melalui pelbagai tindakan cuba memaksa pihak Tuanku menerima Idris termasuk mengarahkan Rosol Wahid dan 22 ADUN Terengganu menentang pihak Istana.
Beliau berkata Rosol hanya mengikut arahan daripada presiden (Abdullah), sebagaimana dilaporkan oleh akhbar Utusan Malaysia Rabu lalu.
Sehubungan dengan itu, Rabu lalu, PAS Terengganu melalui kenyataan Pesuruhjayanya,
menyeru rakyat menyokong keputusan istana kerana pihak istana maklum dan memahami kesalahan yang berlaku dalam kerajaan dibawah kepimpinan bekas Menteri Besar Dato’ Seri Idris Jusoh.”Kita(PAS) Terengganu memang mempunyai maklumat tentang beberapa tatacara kewangan yang agak pelik berlaku didalam pengurusan pembangunan Pulau Duyong dan Pulau Wan Man, ”Antaranya adalah penglibatan Perbadanan Memajukan Iktisad Negeri Terengganu(PERMINT) sebagai badan penyaluran Wang Ehsan kepada projek-projek di Pulau Duyong dan Pulau Wan,
“Wang Royalti atau Wang Ehsan tidak masuk kedalam akaun negeri, tetapi disalurkan terus melalui akaun PERMINT kepada projek-projek tersebut,”kata Dato’ Abu Bakar Chik
Beliau yang juga Pengerusi Institut Kajian Polisi Negeri(IKPNT) berkata sehingga kini rakyat Terengganu tidak berpuas hati dan mengatakan bahawa perbelanjaan yang digunakan untuk Monsoon Cup, Pulau Duyong dan Pulau Wan Man adalah membazir dan tidak memberikan manfaat yang banyak kepada rakyat.
Beliau berkata tindakan memberikan projek-projek kepada kroni Perdana Menteri, Patrick Lim tidak menjadi rahsia lagi.
“Majalah Antarabangsa
Asian Pacific Boating keluaran January-February 2008 telah melaporkan bahawa Patrick Lim mengawal RM 300 juta peruntukan bajet tahunan untuk menganjurkan dan mempromosikan Monsoon Cup,”Kita sedang mengumpulkan semua maklumat secara terperinci berkenaan salahlaku dan penyelewengan kerajaan dibawah
kepimpinan bekas Menteri Besar Idris Jusoh” kata Dato’ Abu Bakar.
Dr. Mahathir sebelum ini pernah menyatakan Terengganu diperintah oleh menantu Abdullah, Khairy Jamaluddin dan Patrick yang dinamakannya sebagai Patrick Badawi. Perkara itu pernah diulas oleh Raja Petra didalam Kolumnya ‘The Corridor of Power’ dan diulang tulis dibawah tajuk
‘Monsoon(Cup) Winds of Change’ berikutan isu pelantikan Menteri Besar Terengganu baru-baru ini.

Menginsafi tanggungjawab sebagai pemimpin

Oleh A. MOHD. RAHIMIN SIHAT

DALAM hubungan keimanan dan ketakwaan kita kepada Allah SWT, seperkara yang perlu kita ingat ialah sebagai insan atau makhluk terbaik yang dicipta oleh Allah, kita memikul dua amanah yang penting. Pertama, amanah sebagai hamba Allah yang dituntut supaya kita mengabdikan diri kepada-Nya.
Kedua, amanah sebagai khalifah di muka bumi yang diberi peranan untuk membangunkan insan dan alam berpandu kepada syariat Allah SWT dengan harapan akan wujud keamanan dan kesejahteraan untuk dinikmati bersama.
Dalam konteks pembangunan dan memakmurkan negara, amanah untuk menguruskan dan mentadbir negara terpikul di bahu para pemimpin yang pada dasarnya mempunyai tiga peranan utama iaitu:
i. Mewujudkan suasana aman dan damai (mengelakkan rasa takut dan cemas bagi setiap penduduknya).
ii. Mewujudkan kemakmuran dan keluasan rezeki dalam penghidupan (rakyat dalam keadaan sihat jasmani dan rohani).
iii. Melahirkan manusia-manusia yang baik dan berakhlak mulia.
Dengan penjelasan demikian, peranan dan tanggungjawab seseorang pemimpin itu sebenarnya amat besar dan dirasakan amat berat. Oleh itu sebagai seorang pemimpin sama ada terhadap diri dan keluarga apatah lagi jika memegang kepimpinan yang lebih besar, kita beramanah dan bertanggungjawab atas kepimpinan tersebut malah meletakkan masalah kepimpinan itu pada tahap paling atas sesudah beriman kepada Allah dan Rasul.
Dalam menjayakan sesuatu rancangan yang telah dirangka, seseorang pemimpin hendaklah sentiasa meningkatkan ketakwaan dan mendekatkan diri kepada Allah dengan harapan Allah akan memberi pertolongan dan kemudahan dalam mencapai matlamat kepimpinan yang di sebut tadi. Perlu disedari, jika tidak mendapat pertolongan daripada Allah, pasti kita akan gagal dalam melaksanakan sesuatu tugas sebagaimana madah seorang penyair sufi.
Ia berbunyi: "Kalaulah tidak ada pertolongan Allah kepada seseorang pemuda, maka faktor pertama yang merosakkan dirinya ialah usaha dan kesungguhannya sendiri".
Sebagai seorang pemimpin yang beriman kepada Allah, hendaklah menjadikan diri Rasullullah SAW sebagai contoh ikutan yang terbaik. Ini kerana Baginda SAW mempunyai ciri-ciri kepimpinan yang unggul seperti berilmu dan bertakwa, amanah dan bertanggungjawab, adil dan tegas, mengutamakan kepentingan umum terlebih dahulu daripada kepentingan diri sendiri, hidup amat bersederhana dan tidak bermewah-mewah, mengamalkan dan menghargai pendapat serta teguran orang bawahan.
Ini menjadikan diri baginda Rasulullah SAW dikasihi oleh Allah dan para umatnya, malahan baginda juga dihormati dan disegani oleh musuh-musuhnya.
Justeru, para pemimpin hari ini perlulah menjadikan diri Rasulullah SAW sebagai idola dan model kepimpinan yang terunggul. Kebijaksanaan dan ketokohan Baginda sebagai seorang pemimpin agung melayakkan diri baginda SAW sebagai pemimpin umat yang berjaya, pemimpin rumah tangga yang penyayang, sebagai guru atau pendidik yang tidak mengenal putus asa, bahkan sebagai ketua atau panglima di medan perang yang gagah berani dan sebagainya.
Dan betapa pula kita pada hari ini sebagai pemimpin terhadap diri sendiri, pemimpin dalam keluarga, pemimpin dalam sebuah organisasi atau pertubuhan malahan mungkin ada di antara kita yang menjadi pemimpin lebih besar lagi daripada yang di sebutkan tadi.
Adakah kita benar-benar prihatin dengan kepimpinan kita? Dan adakah kita sentiasa menginsafi bahawa kita akan dipertanggungjawabkan di hadapan-Nya mengenai kepimpinan kita di dunia ini.
Amat mendukacitakan, keghairahan sekelompok pemimpin yang menawarkan diri menjadi ketua atau pemimpin dalam pertubuhan dan organisasi yang mencetuskan banyak polemik dan isu amat dikesali. Ini kerana, perebutan kuasa dan pertelagahan untuk melayakkan diri mereka memimpin sesebuah organisasi dan pertubuhan telah melenyapkan konsep syura atau perundingan yang menjadi salah satu dasar dalam ajaran Islam.
Sejarah telah membuktikan ketika Rasulullah SAW wafat, para sahabat telah berbincang untuk memilih pemimpin bagi menggantikan baginda, lalu para sahabat memilih Saidina Abu Bakar sebagai pemimpin berdasarkan sistem syura. Islam telah menggariskan beberapa kriteria untuk melayakkan seseorang menjadi pemimpin iaitu, hendaklah seorang yang amanah, berkemampuan, berpengalaman dan bertakwa kepada Allah.