Rabu, 6 November 2013

Lawatan ke Kapit, Sarawak

Kapit merupakan salah satu kawasan di Sarawak. Majoriti penduduknya adalah Kaum Iban. Walau bagaimanapun, ekonomi penduduk di Kapit dikuasai oleh Kaum Cina, maka tidak hairanlah apabila kita pergi ke Kapit, 99% kedai dan restauran dimiliki oleh Kaum Cina.

Perjalanan ke Kapit mengambil masa selama lebih kurang 3 jam daripada Sibu dengan menaiki Feri. Perjalanan ini amat menarik memandangkan kita boleh melihat keindahan alam fauna dan pemandangan semasa menyusuri sungai tersebut.

Walau bagaimanapun, bagi orang muslim, tidak banyak pilihan kedai makan yang ada dimana untuk sarapan pagi hingga tengahari, anda boleh pergi ke Gelanggang Kenyalang. Pada malamnya, anda boleh ke Tempat Open Air di tengah Pekan Kapit bagi mendapatkan makanan halal memandangkan orang muslim mulai buka kedai makan mulai petang hingga malam.

Untuk mendapatkan bekalan makanan halal, hanya satu kedai runcit muslim sahaja di Kapit iaitu Syarikat Haji Radin Budiman.

Kita juga boleh mendapatkan barangan mentah seperti ikan, sayur dan sebagainya di Market Teresang dimana aktiviti ekonomi ini agak rancak pada hujung minggu.

Kemudahan di Pekan Kapit amat membanggakan dimana ada kemudahan bank, Wisma Persekutuan, Pejabat Daerah, Petronas dan sebagainya.  

Market Teresang Kapit dimana aktiviti ekonomi rancak pada hujung minggu

Disini ada kedai makan Muslim. Pagi sampai tengahari sahaja.

 Feri akan berhenti di terminal ini

Satu-satunya kedai muslim di Kapit iaitu Syarikat Haji Radin Budiman

Anda boleh bermalam di Hotel Meligai Kapit


Tempat lepak di tengah-tengah Pekan Kapit


Isnin, 7 Oktober 2013

Tali Air Yang Sudah Tiada Airnya


1. Sawah padi begitu sinonim dengan orang Melayu. Tali air berfungsi mengalirkan air ke dalam sawah-sawah padi dan ianya begitu signifikan hinggakan adanya agensi Kerajaan yang menguruskan bekalan air untuk sawah-sawah padi ini. Dulu, kebanyakan orang Melayu bertanam padi dan ianya telah menjadi satu keperluan bagi orang Melayu pada ketika itu.

2. Namun kini, semuanya tinggal kenangan. Tali air yang dulunya dipenuhi dengan air kini semakin kekeringan. Jumlah sawah padi semakin hari semakin berkurangan, ada yang ditukar menjadi kebun dan ada yang dibuat sebagai tapak rumah.

3. Keadaan ini berlaku kerana pulangan padi yang tidak setimpal dengan usaha orang kampung. Lebih-lebih lagi banyak beras siam yang melimpah ke tanah kita. Maka, kita secara tidak langsung telah menjadi pembeli kerana tiada bekalan beras yang disimpan dalam paloh seperti dulu. 

4. Faktor air dan golongan belia yang lebih suka bekerja kilang serta makan gaji menyebabkan bekalan beras tempatan tidak mencukupi dan terpaksa mengimport daripada negera seberang. Harga beras juga semakin mahal berbanding dulu dengan nilai wang kita yang semakin susut tahun demi tahun.

5. Justeru itu, semangat PADI harus disuburkan kembali dan sokongan pihak Kerajaan amatlah ditagih untuk memastikan bekalan beras mencukupi untuk negara kita. Kita tidak perlu lagi mengimport beras dari negara seberang kerana semangat PADI telah kembali bersama kita. 

Jumaat, 27 September 2013

Kereta Rasmi Menunggu Baginda Yang Di-Pertuan Agong Semasa Titah Ucapan Diraja di Parlimen



Baginda Yang Di-Pertuan Agong akan bertitah setiap tahun di Parlimen baki pembukaan Penggal Parlimen secara rasmi. Titah Diraja oleh Baginda sangat penting sebagai hala tuju pembangunan dan pentadbiran negara. Ucapan Baginda ini akan dibahas oleh Ahli-Ahli Parlimen dan seterusnya akan dijawab oleh Menteri-Menteri yang berkaitan. Gambar ini adalah diambil pada tahun ini semasa Titah Ucapan Diraja oleh Baginda Yang Di-Pertuan Agong di Parlimen. Kenderaan rasmi ini menunggu keberangkatan Baginda Yang Di-Pertuan Agong.

Rabu, 18 September 2013

Pemilihan Majlis Tertinggi UMNO 2013


1.  Pemilihan kepimpinan dalam UMNO dijangka hangat pada Oktober ini. Pemilihan ini secara ironinya akan lebih tertumpu kepada Naib-Naib Presiden UMNO. 

2.  Kegembiraan pada wajah Naib-Naib Presiden ini akan ditentukan pada pemilihan nanti. Kekuatan mereka sudah terserlah, namun dengan pencalonan dua lagi yang akan bertanding untuk jawatan ini sudah tentu meresahkan mereka. Tan Sri Isa Samad dan Datuk Seri Ali Rustam bukan calang-calang orangnya, mereka punyai kekuatan yang tersendiri dan pengaruh yang kuat. Antara ketiga-tiga Naib Presiden ini. 

3.  YB DS Dr. Zahid Hamidi adalah pada rangking yang pertama dan kelihatan tidak dapat digugat oleh mana-mana pemimpin UMNO pada masa ini untuk jawatan ini. Beliau mendapat sokongan yang padu daripada akar umbi UMNO dan juga kepimpinan UMNO di semua peringkat.

4.  Justeru itu, sudah tentu YB DS Hj. Shafie Apdal dan YB DS Hishamuddin Tun Hussein sedikit sebanyak harus berasa bimbang dan gusar dengan keadaan ini. Mujur Ketua Menteri Sabah telah mengumumkan bahawa beliau tidak akan bertanding untuk jawatan Naib Presiden, ini telah melegakan YB DS Hj. Shafie Apdal. YB DS Hj. Shafie Apdal punyai kelebihan kerana beliau ialah Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah. Sudah tentu agensi-agensi di bawah kementerian ini memberi kelebihan kepada beliau. 

5.  Tetapi bagaimanakah dengan YB DS Hishamuddin Tun Hussein, beliau Menteri Pertahanan dan memangku tugas sebagai Menteri Pengangkutan, adakah ada agensi-agensi di bawah kementerian-kementerian ini boleh memberi kelebihan kepada beliau. Jawapannya tentu ada sedikit sebanyak khususnya Kementerian Pengangkutan. 

6.  Pemilihan ini akan lebih menarik sekiranya Menteri  Besar Kedah, Datuk Mukhriz Mahathir mengumumkan untuk bertanding jawatan Naib Presiden UMNO. Apa yang pasti kita tunggu pemilihan ini kerana ianya begitu signifikan untuk rakyat dan pembangunan negara yang kita cintai, Malaysia.

Selasa, 17 September 2013

Belalang Oh Belalang



Dulu, selepas menuai padi, orang-orang kampung khususnya di Kelantan berpesta menangkap belalang pada waktu malam. Belalang ini digoreng dan sangat ranggup rasanya. Namun kini, ianya telah tinggal kenangan dimana tiada lagi pesta menangkap belalang dan makan belalang. Nostalgia ini hilang bersama dengan budaya. Tiada lagi orang kampung yang makan belalang, tiada lagi kanak-kanak yang makan belalang dan tiada lagi pesta menangkap belalang. Alangkah indahnya nostalgia di zaman kanak-kanak.

Ahad, 8 September 2013

Sungai Kampung Belimbing Tidak Seindah Dulu




Sungai Kampung Belimbing tidak seindah dulu. Sewaktu aku balik beraya Aidilfitri di kampung baru-baru ini, aku berkesempatan pergi melihat sungai yang menjadi tempat aku dan kawan-kawan mandi pada ketika dulu iaitu semasa kami kanak-kanak. Sungai ini tidak lagi seindah dulu, airnya tidak jernih seperti dulu dan tiada kanak-kanak yang mandi. Dulu sungai ini begitu popular dan sesekali kami menagkap ikan, udand dan etak. Seringkali juga orang menuba ikan di sungai ini. Waktu itulah kami sekampung berpesta menangkap ikan sungai. Sesungguhnya nostalgia lalu sangat indah dan tidak akan dilupakan.

Khamis, 29 Ogos 2013

Program Gotong Royong dan Makan Nasi Sempena Naik Rumah PBR Seorang Penduduk Kampung Belimbing




Di kampung amat bertuah kerana masyarakatnya masih mengekalkan tolong menolong jika kita hendak mengadakan kenduri dan sebagainya. Perkara seumpama ini agak sukar bagi penduduk bandar dimana ia biasanya diberi kepada Syarikat Caterer. Tahniah diucapkan kepada penduduk Kampung Belimbing.