Isnin, 7 Oktober 2013

Tali Air Yang Sudah Tiada Airnya


1. Sawah padi begitu sinonim dengan orang Melayu. Tali air berfungsi mengalirkan air ke dalam sawah-sawah padi dan ianya begitu signifikan hinggakan adanya agensi Kerajaan yang menguruskan bekalan air untuk sawah-sawah padi ini. Dulu, kebanyakan orang Melayu bertanam padi dan ianya telah menjadi satu keperluan bagi orang Melayu pada ketika itu.

2. Namun kini, semuanya tinggal kenangan. Tali air yang dulunya dipenuhi dengan air kini semakin kekeringan. Jumlah sawah padi semakin hari semakin berkurangan, ada yang ditukar menjadi kebun dan ada yang dibuat sebagai tapak rumah.

3. Keadaan ini berlaku kerana pulangan padi yang tidak setimpal dengan usaha orang kampung. Lebih-lebih lagi banyak beras siam yang melimpah ke tanah kita. Maka, kita secara tidak langsung telah menjadi pembeli kerana tiada bekalan beras yang disimpan dalam paloh seperti dulu. 

4. Faktor air dan golongan belia yang lebih suka bekerja kilang serta makan gaji menyebabkan bekalan beras tempatan tidak mencukupi dan terpaksa mengimport daripada negera seberang. Harga beras juga semakin mahal berbanding dulu dengan nilai wang kita yang semakin susut tahun demi tahun.

5. Justeru itu, semangat PADI harus disuburkan kembali dan sokongan pihak Kerajaan amatlah ditagih untuk memastikan bekalan beras mencukupi untuk negara kita. Kita tidak perlu lagi mengimport beras dari negara seberang kerana semangat PADI telah kembali bersama kita.