Ahad, 5 Julai 2015

USUL PERSENDIRIAN OLEH AHLI KAWASAN MARANG

1. Pelaksanaan Hukum Hudud di Malaysia menghadapi halangan besar kerana Hukum yang mulia ini bertentangan dengan Perlembagaan Malaysia, sekaligus menyebabkan ia tidak boleh dikuatkuasakan di setiap negeri di Malaysia.

2. Dewan Undangan Negeri Kelantan telah meluluskan Pindaan Enakmen Kanun Jenayah Syariah (II) (1993) 2015 secara sebulat suara dari 44 ADUN pada 18 Mac 2015. Walau bagaimanapun, Enakmen ini tidak akan dapat dilaksanakan melainkan mendapat kebenaran Parlimen Malaysia kerana ianya bertentangan dengan Perlembagaan. Justeru itu, wakil Ahli Parlimen PAS mesti membawa usul persendirian di Parlimen dan usul persendirian ini telah dibawa oleh Ahli Parlimen PAS bagi Kawasan Marang sepertimana berikut ;

Dato Seri Abdul Hadi bin Awang [ Marang ] akan mencadangkan :
“Bahawa Dewan ini memberikan kebenaran menurut Peraturan Mesyuarat 49 (1) kepada Yang Berhormat Ahli bagi kawasan Marang untuk mencadangkan suatu Rang Undang-undang Ahli Persendirian bernama Rang Undang-undang Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) (Pindaan) 2015 seperti berikut :

i- menggantikan Seksyen 2 dengan seksyen berikut:

“2. Mahkamah Syariah akan mempunyai kuasa ke atas seseorang penganut agama Islam dan di dalam hal-hal kesalahan di bawah perkara-perkara yang disenaraikan di dalam Butiran 1 Senarai Negeri di bawah Jadual Kesembilan Perlembagaan Persekutuan.” ; dan

ii- memasukkan selepas seksyen 2 dengan seksyen berikut;

“2A. Dalam menjalankan undang-undang jenayah di bawah Seksyen 2 Mahkamah Syariah berhak menjatuhkan hukuman yang dibenarkan oleh undang-undang syariah berkaitan hal-hal kesalahan yang disenaraikan di bawah seksyen yang disebutkan di atas, selain dari hukuman mati.”

3. Kesediaan PAS membawa usul persendirian ke Parlimen setelah YB Mejar Jeneral (B) DS Jamil Khir bin Baharum, Menteri di Jabatan Perdana Menteri menyatakan di Parlimen bahawa Kerajaan bersedia menyokong pelaksanaan Enakmen  Kanun Jenayah Syariah II di Kelantan dan juga usul persendirian yang akan dibawa oleh PAS. Antara ucapan YB Mejar Jeneral (B) DS Jamil Khir bin Baharum, Menteri di Jabatan Perdana Menteri adalah seperti berikut :

Penyata Rasmi Parlimen bertarikh 27 Mac 2014

Mejar Jeneral (B) Dato' Seri Jamil Khir bin Baharum: Nanti, tak habis lagi. Bagi saya habis dulu baru saya bagi. Dalam ruang lingkup yang disebutkan tadi oleh Yang Berhormat Pasir Puteh bahawa kita bersetuju amat dan juga dalam keadaan bersedia ini saya, kerajaan dalam konteks ini bukan kita nak cari millage, ataupun dengan izin Tuan Yang di-Pertua, siapa yang lebih ke hadapan dan siapa yang lebih dahulu. Bukan tujuan untuk kita mendabik dada di atas pentas-pentas politik dan sebagainya. Hal ini adalah hal yang berkaitan dengan Islam jadi maknanya kalau erti kata tadi bukan hanya sekadar pada Dewan sesi yang lepas saya telah meneliti pada sesi untuk diwujudkan Kanun Jenayah Syariah II Kelantan itu dulu pun semasa hendak ditubuhkan, daripada kalangan rakan-rakan daripada UMNO yang berada dalam Dewan tersebut selaku pembangkang juga turut menyokong secara 100% dan maknanya dalam erti kata yang mudah, kita menyokong untuk berada bersama dan kita persetujui kalau hal ini perlu diangkat sehingga sampai ke Dewan, mungkin dalam pelbagai bentuk termasuklah Bil Persendirian ataupun Private Bill, dengan izin Tuan Yang di-Pertua, yang boleh dikemukakan dan kita bersedia untuk bersama dalam DR.27.3.2014 94 mendukung perundangan yang seperti ini supaya jangan nanti dilihat bahawa hal ini hal yang berkaitan dengan politik, tidak tetapi ianya adalah merupakan hal yang penting kebersamaan, kesatuan dan juga kepentingan umat Islam.

......Sekiranya ada kerajaan negeri termasuk Kelantan yang telah bersedia melaksanakan hukum hudud, pihak Kerajaan Persekutuan akan bersedia bekerjasama dan terpulang kepada Ahli Yang Berhormat untuk membawa usul persendirian bagi membentang rang undang-undang daripada ahli yang bukan kerajaan di Dewan yang mulia ini. Di mana sebagai Ahli Yang Berhormat sedia maklum, Ahli-ahli Yang Berhormat daripada Barisan Nasional UMNO telah pun memberikan sokongan kepada Enakmen Jenayah Syariah 2, di Dewan Undangan Negeri Kelantan.

4. Dengan ucapan dan komitmen yang ditunjukkan oleh YB Mejar Jeneral (B) DS Jamil Khir bin Baharum, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, maka PAS melalui Ahli Parlimen bagi Kawasan Marang, YB DS Hj Abdul Hadi bin Awang merangkap Presiden PAS telah membawa usul persendirian dan telah dimasukkan dalam Aturan Urusan Mesyuarat (AUM) dengan nombor giliran yang terakhir. Bagi menaikkan usul persendirian ini supaya ianya sempat dibahas di Dewan Rakyat, Ahli Parlimen bagi Kawasan Marang hendaklah menulis surat permohonan kepada Kerajaan untuk menaikkan usul ini kerana Peraturan-Peraturan Majlis Mesyuarat 15 mengatakan bahawa sesuatu usul daripada usul persendirian tidak akan dapat dibahas selagi agenda-agenda urusan kerajaan di bawah peraturan mesyuarat 15 tidak selesai. Sekiranya surat menaikkan usul ini diberi perhatian dan disetujui oleh Kerajaan, maka usul persendirian oleh Ahli Kawasan Marang sudah tentu berpeluang untuk dibahas dan kemudiannya diundi sama ada disetujukan ataupun tidak.

5. Penantian untuk melihat usul ini dibahas di Dewan Rakyat tidak kesampaian apabila pihak Kerajaan tidak memberi maklumbalas kepada kesungguhan Ahli Kawasan Marang yang menyebabkan nombor gilirian usul persendirian ini kekal di nombor yang terakhir. Apa yang menjadi persoalan ialah kenapa pada permulaannya YB Mejar Jeneral (B) DS Jamil Khir bin Baharum, Menteri di Jabatan Perdana Menteri menyatakan Kerajaan Persekutuan sedia menyokong dan apabila usul persendirian benar-benar dibawa oleh Ahli Kawasan Marang, Kerajaan Persekutuan senyap dan tidak memberi persetujuan.

6. Kemungkinan besar UMNO risau kehilangan sokongan parti-parti komponen dalam BARISAN NASIONAL seperti MCA, GERAKAN, PBB dan lain-lain. Parti Gerakan misalnya telah menfailkan saman di mahkamah supaya keputusan Dewan Undangan  Negeri Kelantan dibatalkan. MCA dengan lantang telah menggugut UMNO supaya tidak bersetuju dengan Enakmen ini dan akan keluar daripada BARISAN NASIONAl. Begitu juga dengan parti-parti komponen BN di Sarawak yang telah menyatakan tidak setuju dengan Hukum Hudud.

7. Sebenarnya apa yang dibawa oleh Ahli Kawasan Marang ialah satu usul persendirian bagi meluaskan bidang kuasa Mahkamah Syariah sahaja kerana perlaksanaan Enakmen Jenayah Syariah II Kelantan perlu kepada pindaan Perlembagaan dan kebenaran daripada Parlimen untuk melaksanakan perkara-perkara di Senarai Negeri. Apa yang berlaku ialah Parti-Parti Politik yang menentang Usul Persendirian ini telah silap dalam membuat pentaksiran dimana menganggapnya Usul Persendirian ini ialah untuk melaksanakan HUDUD, walhal hanya satu usul untuk meluaskan kuasa Mahkamah Syariah sahaja.

8. Kesimpulannya, PAS seperti telah ditipu oleh UMNO dan ini secara realitinya telah memberi keuntungan kepada PAS.