Jumaat, 20 Februari 2015

SIAPA KETUA PEMBANGKANG SELEPAS DATO' SERI ANWAR IBRAHIM?

1. 10 Februari 2015, Mahkamah Persekutuan mengekalkan hukuman penjara 5 tahun kepada Ketua Pembangkang, DS Anwar Ibrahim. Maka, DS Anwar Ibrahim secara automatiknya terlucut jawatan sebagai Ahli Parlimen dan juga Ketua Pembangkang di Parlimen kecuali beliau mendapat pengampunan daripada SPB Yang Dipertuan Agong. Walaupun ramai yang merasakan DS Anwar Ibrahim tidak bersalah tetapi mahkamah telah menjatuhkan hukuman. Landskap politik negara sudah tentu akan berubah dengan ketiadaan DS Anwar Ibrahim. 

2. Persoalan yang timbul ialah siapakah yang paling layak untuk menggantikan beliau sebagai Ketua Pembangkang di Parlimen. Adakah YB Lim Kit Siang akan dilantik sekali lagi jawatan itu yang pernah disandangnya beberapa kali sebelum ini? Adakah anak Lim Kit Siang, YAB Lim Guan Eng akan dilantik ke jawatan tersebut atau adakah YB Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang akan dilantik ke jawatan itu? Sekiranya YB Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang dilantik menjadi Ketua Pembangkang, beliau akan mengulangi kehebatan Allahyarham Ustaz Fadzil Noor. Isunya, adakah DAP dan PKR setuju jika jawatan Ketua Pembnagkang diberikan kepada PAS? Sudah tentu DAP dan PKR tidak setuju dan PAS terpaksa akur dengan keputusan DAP dan PKR, lagipun kerusi yang PAS miliki tidak dapat menandingi kerusi DAP dan PKR. PAS juga perlu menjaga hubungan dalam Pakatan Rakyat.

3. Siapakah yang paling layak? Adakah PKR akan menunggu pilihanraya kecil di Permatang Pauh sebelum melantik Ketua Pembangkang di Parlimen. Adakah Datin Seri Wan Azizah akan bertanding sekali lagi di Permatang Pauh atau memberi peluang kepada anaknya, Nurul Nuha untuk bertanding di Permatang Pauh? Jika Datin Seri Wan Azizah atau anaknya, Nurul Nuha ditakdirkan menang di Permatang Pauh, adakah PAS akan bersetuju jika ada cadangan Datin Seri Wan Azizah dilantik sebagai Ketua Pembangkang? Jawapannya tentu sama sekali tidak.

4. Justeru itu, dua calon yang sesuai untuk menyandang jawatan Ketua Pembangkang ialah YAB Azmin Ali, Menteri Besar Selangor merangkap Timbalan Presiden PKR dan YB Rafizi Ramli, Ahli Parlimen Pandan merangkap Naib Presiden PKR. Sekiranya YAB Azmin Ali ingin menumpukan tugasnya sebagai Menteri Besar Selangor, maka YB Rafizi Ramli akan dilantik sebagai Ketua Pembangkang. Diantara YAB Azmin Ali dan YB Rafizi Ramli, yang lebih berkaliber dan petah berpidato ialah YAB Azmin Ali. Pengalaman YAB Azmin Ali di Parlimen dan dalam politik menyebabkan beliau adalah calon yang paling layak untuk dilantik sebagai Ketua Pembangkang di Parlimen.

Tiada ulasan: