1. Bahana ROKOK dikalangan masyarakat Malaysia seakan tidak boleh dibendung. Dimana-mana kita boleh melihat orang menghisap rokok tidak kira muda, tua atau remaja. Yang menyedihkan lagi apabila ada kanak-kanak yang menghisap rokok.
2. Perokok seakan hilang akal apabila merokok di merata tempat tanpa mengira sensitiviti dan hak orang lain. Kita sudah lali melihat orang merokok di tempat-tempat awam seperti di restoran, kedai kopi, perkarangan pejabat, rumah, tempat-tempat perhentian, tempat rehat dan lain-lain. Yang paling lagi jijik apabila ada yang merokok di tangga-tangga masjid, madrasah dan surau. Perbuatan ini telah mengganggu orang yang tidak merokok dan membahayakan mereka khususnya bagi anak-anak kecil. Buka sahaja perokok membahayakan diri sendiri tetapi kepada orang lain yang berdekatan.
3. Putung-putung rokok juga menyebabkan sampah di merata tempat dan perokok seumpama tidak mengerti bahawa perbuatan mereka membuang putung-putung rokok di merata tempat adalah perbuatan yang jahat dan jiwa yang celaru. Seringkali saya terlihat perokok membuang putung rokok melalui tingkap kereta tanpa menghiraukan orang lain. Begitu juga di restoran, selepas makan atau sebelum makan, putung rokok dibuang merata tempat. Perbuatan ini juga boleh menyebabkan kebakaran dan bahaya kepada orang lain.
4. Walaupun Majlis Fatwa telah mengharamkan rokok, namun pengharaman itu tidak memberi makna atau kesan kepada perokok kerana mereka lebih rela dikuasai nafsu dan tidak berupaya untuk berhenti merokok kerana jiwa yang lemah. Dalam Al-Quran juga ada melarang kita tidak membuat sesuatu perkara yang boleh membahayakan kita iaitu "Jangan kamu mencampakkan diri-diri kamu ke dalam kebinasaan". Namun berapa kerat yang berpegang kepada ayat ini dan berapa kerat yang mengambil serius akan perintah Allah S.W.T.
5. Bukan itu sahaja, perokok juga adalah manusia yang pembazir dimana duit-duit dibakar dengan begitu mudah setiap hari. Walaupun membazir itu haram dalam Islam, namun berapa kerat perokok yang endah akan perkara ini. Alangkah bagusnya apabila duit disimpan untuk kegunaan keluarga dan didermakan untuk perkara-perkara baik. Dengan ini, kita dapat pahala dan sebagai bekalan masa kita mati nanti.
6. Dengan perokok yang tiada akhlak, jauh sekali negara kita akan mencapai status negara maju kerana mentalitinya mundur. Seorang kawan saya yang pernah berkerja di negara Thailand selama lima tahun menceritakan bahawa agak susah untuk kita melihat masyarakat Thailang yang merokok di tempat-tempat awam. Berbeza dengan masyarakat kita yang biasa kelihatan merokok di tempat-tempat awam. Begitu juga dengan negara-negara maju seperti negara Jepun, masyarakatnya begitu sopan dan tidak merokok di tempat-tempat awam, apatah lagi membuang putung-putung rokok merata.
7. Justeru itu, marilah kita berubah dan kembali kepada ajaran Islam yang sebenarnya. Kerajaan juga perlu bertindak tegas kepada perokok, lupalah sekejap hasil cukai daripada rokok demi kepentingan masyarakat dan negara.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan