Khamis, 4 Disember 2008

Mana Pergi Wakil PAS

Y.B. Lim Kit Siang di Dewan Rakyat hari ini telah membawa usul di bawah Peraturan Mesyuarat 66 (9) dalam Perbahasan Bajet Peringkat Jawatankuasa Rang Undang-Undang Perbekalan 2009 bagi Kementerian Dalam Negeri. Usul tersebut ialah "Bahawa perbelanjaan diluluskan dengan syarat dikurangkan sebanyak RM10.00 daripada perkara Polis Diraja Malaysia 020000 Kod 10000 Emolumen iaitu dengan memotong gaji Ketua Polis Negara sebanyak RM10.00". Wakil-wakil Pembangkang telah dijemput oleh Yang Dipertua Dewan Rakyat tetapi malangnya apabila Yang Dipertua memanggil wakil daripada PAS, tiada yang berdiri untuk memberi ucapan atau mungkin wakil PAS tiada dalam Dewan pada waktu itu. Maka Y.B. Azmin Ali telah bangun untuk membahaskan perkara ini mengisi ruang yang beri kepada PAS. Kebiasaannya Yang Dipertua Dewan Rakyat akan bagi kepada setiap wakil parti untuk berucap tetapi peluang ini tidak diambil oleh PAS. Aamat malang bila tiada wakil PAS membahaskan perkara ini, dan ia juga perkara yang memalukan

Usul Kit Siang Ditolak Oleh Timbalan Yang Dipertua

Y.B. Lim Kit Siang, Ipoh Timur telah mencadangkan supaya Y.B. Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Idris Harun dibawa ke Jawatankuasa Khas dan Kebebasan ekoran daripada kenyataan beliau terhadap mantan Naib Canselor Universiti Malaya. Usul ini telah ditolak oleh Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Dr. Haji Wan Junaidi Tunku Jaafar pada Perbahasan Bajet 2009 di Peringkat Jawatankuasa hari ini, iaitu hari yang terakhir Perbahasan Bajet 2009 di Peringkat Jawatankuasa. Walaubagaimanapun, Datuk Idris Harun tidak hadir di Dewan Rakyat pada hari ini.

Rabu, 3 Disember 2008

Satu Sistem Pendidikan

Saya secara peribadi menyokong dan bersetuju apa yang telah diperkatakan oleh Datuk Mukriz Mahathir mengenai satu sistem pendidikan. Saya merasakan bahawa sudah sampai masanya sekolah yang berasaskan kaum itu dihapuskan dan semua pelajar itu memasuki sekolah kebangsaan. Jikalau kita masih dengan sistem pendidikan zaman penjajah ini, mustahil untuk kita mencapai satu matlamat untuk mewujudkan bangsa Malaysia dan mempertahankan serta memperkuatkan perpaduan nasional yang dikecapi sekarang ini. Amat malang bagi kita bila masih ada lagi Orang Cina dan Orang India tidak dapat bercakap Bahasa Kebangsaan. Ada juga dikalangan Orang Cina dan Orang India yang tidak dapat bercakap Bahasa Kebangsaan dengan betul. Yang menyedihkan lagi ialah bila ada dikalangan Ahli Dewan Rakyat tidak dapat bercakap dengan fasih Bahasa Kebangsaan. Tidak malukah golongan ini sebagai orang yang penting dalam Malaysia, terlibat dengan pembentukan Undang-Undang dalam negara kita, Bahasa Kebangsaan pun terkontang-kanting. Justeru itu, sudah tiba masanya Orang Cina dan Orang India berkorban dan menerima satu sistem pendidikan, iaitu sekolah kebangsaan supaya mereka dapat bergaul dengan Orang Melayu. Saya yakin bahasa mereka akan dapat diperbaiki dan kelangsungan kepada perpaduan nasional dapat dipelihara.

Mukhriz tidak akan tarik balik cadangan

KUALA LUMPUR 2 Dis. - Ahli Parlimen Jerlun, Datuk Mukhriz Mahathir menegaskan, beliau tidak akan menarik balik kenyataannya berhubung cadangan agar diwujudkan hanya satu sistem pendidikan di negara ini.
''Saya tidak nampak apa yang saya cakap itu salah kerana kita menyentuh soal perpaduan. Adakah tarik balik ini bermaksud kita tidak mahu kepada perpaduan?
''Sedangkan setiap hari saya dengar dalam Dewan Rakyat ini, kita sentiasa bercakap mengenai soal perpaduan, tetapi setakat cakap saja, retorik semata-mata, tetapi tidak mahu melakukan sesuatu, saya ingat ia langsung tidak bermakna," katanya kepada pemberita di lobi Parlimen di sini hari ini.
Mukhriz berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai tentangan beberapa pihak dan gesaan beliau menarik balik cadangan yang dibuatnya semalam berhubung kewujudan satu sistem pendidikan kebangsaan yang bertujuan menyatupadukan rakyat dan mengatasi masalah polarisasi antara kaum.
Ditanya kenapa sukar bagi kaum bukan Melayu untuk menerima cadangan itu, katanya, beliau sendiri tertanya-tanya sebabnya.
''Pada satu pihak, mereka bercakap mengenai perpaduan, tetapi pada waktu yang sama, kita seolah-olah tidak ada satu keazaman politik untuk membawa perubahan yang positif kerana mungkin ada impak politik yang negatif terhadap diri mereka sendiri," katanya.