Rabu, 3 Disember 2008

Mukhriz tidak akan tarik balik cadangan

KUALA LUMPUR 2 Dis. - Ahli Parlimen Jerlun, Datuk Mukhriz Mahathir menegaskan, beliau tidak akan menarik balik kenyataannya berhubung cadangan agar diwujudkan hanya satu sistem pendidikan di negara ini.
''Saya tidak nampak apa yang saya cakap itu salah kerana kita menyentuh soal perpaduan. Adakah tarik balik ini bermaksud kita tidak mahu kepada perpaduan?
''Sedangkan setiap hari saya dengar dalam Dewan Rakyat ini, kita sentiasa bercakap mengenai soal perpaduan, tetapi setakat cakap saja, retorik semata-mata, tetapi tidak mahu melakukan sesuatu, saya ingat ia langsung tidak bermakna," katanya kepada pemberita di lobi Parlimen di sini hari ini.
Mukhriz berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai tentangan beberapa pihak dan gesaan beliau menarik balik cadangan yang dibuatnya semalam berhubung kewujudan satu sistem pendidikan kebangsaan yang bertujuan menyatupadukan rakyat dan mengatasi masalah polarisasi antara kaum.
Ditanya kenapa sukar bagi kaum bukan Melayu untuk menerima cadangan itu, katanya, beliau sendiri tertanya-tanya sebabnya.
''Pada satu pihak, mereka bercakap mengenai perpaduan, tetapi pada waktu yang sama, kita seolah-olah tidak ada satu keazaman politik untuk membawa perubahan yang positif kerana mungkin ada impak politik yang negatif terhadap diri mereka sendiri," katanya.

Tiada ulasan: