Selasa, 7 Oktober 2008

Keputusan Abdullah esok atau lusa

KUALA LUMPUR 6 Okt. – Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi akan mengumumkan pada esok atau Rabu ini keputusannya sama ada mahu mempertahankan jawatan Presiden UMNO pada pemilihan parti itu Mac depan.
Perdana Menteri berkata, beliau juga akan menghadiri mesyuarat Dewan Tertinggi Barisan Nasional (BN) Rabu ini bagi memaklumkan kepada para pemimpin parti komponen BN mengenai tindakan yang bakal beliau ambil.
“Rakan-rakan dalam BN telah memberikan petunjuk bahawa mereka mahu tahu apa yang bakal berlaku dan apakah pelan peralihan kuasa itu kerana Presiden UMNO akan menjadi Pengerusi BN,” ujarnya.
Abdullah berkata demikian kepada pemberita pada sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat Panel Penasihat Antarabangsa (IAP) BioMalaysia 2008 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur di sini hari ini.
Mesyuarat tersebut turut disertai Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan beberapa menteri Kabinet.
Ditanya lebih lanjut mengenai tarikh spesifik untuk beliau mengumumkan kedudukannya dalam UMNO, Perdana Menteri mengulangi jawapan yang sama.
“Esok atau lusa,” ujar beliau.
Mengenai tindakan beberapa pemimpin UMNO mengumumkan keinginan untuk bertanding jawatan Timbalan Presiden UMNO walaupun beliau belum membuat keputusan berhubung penglibatannya dalam pemilihan parti, Abdullah berkata, ia merupakan hak calon-calon berkenaan.
Bagaimanapun, beliau yakin jumlah calon yang menawarkan diri untuk bertanding jawatan timbalan presiden akan berkurangan menjelang pemilihan Mac depan.
“Anda tunggulah. Lepas tidak berapa lama, akan ada beberapa nama yang berundur dan tinggal satu atau dua sahaja (yang mahu bertanding),” katanya.
Setakat ini, mereka yang telah menawarkan diri secara terbuka untuk bertanding jawatan Timbalan Presiden UMNO ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi; Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Mohd. Ali Rustam dan Ketua UMNO Bahagian Pulai, Datuk Nur Jazlan Mohamed.
Seorang lagi pemimpin yang disebut-sebut berminat untuk bertanding jawatan itu ialah Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri itu, bagaimanapun, hanya akan membuat keputusan muktamad selepas Abdullah mengumumkan pendiriannya berhubung peralihan kuasa dalam UMNO.
Pada sidang akhbar yang sama, Perdana Menteri menegaskan bahawa beliau akan menunaikan semua janjinya selama ini sebelum berundur daripada kerajaan.
Perdana Menteri juga berkata, reformasi badan kehakiman umpamanya akan tetap diteruskan walaupun bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Zaid Ibrahim telah meletakkan jawatan.
Katanya, semua janji perubahan termasuk pembaharuan badan kehakiman yang terkandung dalam manifesto Pilihan Raya Umum BN adalah daripada dirinya, justeru beliau bertanggungjawab memastikan ia dilaksanakan.
“Ada kerja yang perlu disiapkan. Pembaharuan yang saya janjikan kepada rakyat pastinya perlu saya buat,'' kata beliau.
Ditanya oleh wartawan asing mengapa Malaysia masih menggunakan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) ke atas ahli politik dan wartawan, beliau berkata, penguatkuasaan undang-undang itu dilakukan dengan cermat dan mengikut keperluan.
“Soalan ini sudah ditanya berulang kali. Sudah pasti ada sebab mengapa seorang menteri yang bertanggungjawab terhadap keselamatan dalam negara mengambil tindakan seumpama itu.
“Sebenarnya ada negara lain di dunia yang mempunyai undang-undang yang lebih tegas daripada ISA, setiap negara mempunyai kaedah tersendiri untuk menjaga keselamatannya," kata beliau.
Abdullah berkata, pengalamannya sebagai Menteri Keselamatan Dalam Negeri memperlihatkan bahawa ISA adakalanya menjadi undang-undang terbaik yang boleh digunakan untuk menjaga keamanan negara.

Tiada ulasan: