Rabu, 10 September 2008

Muslim Xinjiang dihalang Tarawih

BEIJING: Masyarakat Muslim China di Xinjiang, dilaporkan dilarang mengerjakan solat Tarawih oleh pihak berkuasa tempatan atas alasan mengelak berlaku sebarang kejadian ganas. Perkhidmatan berita Islamonline memetik laporan agensi berita Agence France-Presse (AFP) menyatakan, bukan itu saja, malah penduduk lelakinya juga dilarang menyimpan janggut, manakala wanitanya tidak boleh menutup aurat dengan mengenakan tudung mahu pun purdah. "Kami ingin mengingatkan umat Islam supaya tidak menganjurkan sebarang acara solat berjemaah atau cuba mengadakan sebarang majlis yang mengumpulkan orang ramai bagi mengelak tercetusnya sebarang kejadian yang boleh mengancam keharmonian masyarakat," kata notis pada laman web majlis tempatan Xinhe.

Arahan itu dikeluarkan pihak berkuasa tempatan minggu ini bagi memastikan penduduk Muslim minoriti Uighur mengadakan sebarang acara keagamaan bersempena Ramadan yang bermula minggu ini. "Sesiapa saja, baik pegawai kerajaan, anggota Parti Komunis, guru dan pelajar juga dilarang terbabit dalam sebarang acara sempena Ramadan. Mereka yang ditangkap kerana berpuasa, akan dihukum," kata satu lagi notis pada laman web majlis daerah Zhaosu, di Xinjiang. - Agensi

Tiada ulasan: