Khamis, 4 September 2008

Proses Pemilihan Pegawai Tadbir Dan Diplomatik (PTD)

LATAR BELAKANG

Perkhidmatan Awam Malaysia mempunyai peranan yang signifikan dalam memastikan negara dan masyarakat dapat mengecapi keharmonian dan kemakmuran. Sehubungan itu juga, keberkesanan perkhidmatan awam merupakan penyumbang utama kepada kepesatan pembangunan negara bagi membolehkan Malaysia berdiri teguh sebagai sebuah negara bangsa yang berdaulat dan dihormati di persada dunia.
Dalam konteks sektor awam di negara ini, Perkhidmatan Tadbir dan Diplomatik (PTD) merupakan perkhidmatan premier yang membantu kerajaan dalam merencana dan melaksanakan dasar-dasar negara. Sebagai teras perkhidmatan awam negara, pegawai-pegawai PTD telah mengisi kebanyakan jawatan-jawatan utama di peringkat kementerian dan jabatan, badan berkanun persekutuan dan negeri, pihak berkuasa tempatan, syarikat milik kerajaan dan badan-badan antarabangsa.
Dari perspektif sejarah, skim perkhidmatan PTD lahir sebagai kesinambungan daripada jentera pentadbiran negara semenjak sebelum kemerdekaan. Ia bermula seawal tahun 1896, apabila perkhidmatan yang dinamakan Straits Settlements and Federated Malay States Civil Service telah diwujudkan oleh British untuk mentadbir Negeri-Negeri Selat dan Negeri-Negeri Melayu Bersekutu. Kemudian pada tahun 1920, Malayan Civil Service telah ditubuhkan dengan dianggotai oleh pegawai-pegawai kolonial untuk mentadbir Tanah Melayu. Malayan Civil Service (MCS) telah mengalami pelbagai transformasi sepanjang penubuhannya. Pada tahun 1929, Malay Administrative Service telah diwujudkan dengan mengambil pegawai-pegawai Melayu sebagai pelapis kepada MCS.
Pada tahun 1966, MCS telah digantikan dengan Malaysian Home and Foreign Service (Perkhidmatan Dalam dan Luar Negeri Malaysia). Namun begitu, peranan penting perkhidmatan ini dalam sistem pentadbiran awam Malaysia tetap kekal berterusan. Akhirnya pada tahun 1972, perkhidmatan ini telah ditukar namanya kepada Perkhidmatan Tadbir dan Diplomatik (PTD) dan seterusnya kekal sehinggalah sekarang.


A. PROSES PENGAMBILAN PTD

Bagi memasuki perkhidmatan PTD, seseorang calon itu perlu terlebih dahulu mendaftar dengan pihak Suruhanraya Perkhidmatan Awam sama ada melalui Borang SPA 8 ataupun secara online di laman http://www.spa.gov.my. Secara umumnya, semua calon akan melalui tiga tapisan sebelum mereka dilantik sebagai pegawai PTD. i) Peperiksaan
Hanya mereka yang mempunyai kelayakan minimum sekurang-kurangnya ijazah Sarjana Muda dengan kepujian yang diiktiraf sama ada daripada universiti tempatan mahupun luar negara, akan dipanggil untuk mengambil peperiksaan khas bagi memasuki perkhidmatan PTD ini. Soalan-soalan yang dikemukakan dalam peperiksaan tersebut meliputi pelbagai bidang pengetahuan, berbentuk objektif dan subjektif serta terbahagi kepada lima bahagian seperti berikut: Seksyen A – Pengetahuan am mengenai Malaysia dan alam sekeliling. Seksyen B – Daya menyelesaikan masalah. Seksyen C – Pengertian dan kefahaman terhadap esei-esei. Seksyen D – Menulis esei Bahasa Melayu. Seksyen E – Menulis esei Bahasa Inggeris.


ii) PTD Assessment Centre (PAC)

Hanya mereka yang berjaya dalam peperiksaan memasuki PTD sahaja akan dipanggil untuk ke tapisan yang seterusnya iaitu PTD Assessment Centre (PAC). PAC merupakan mekanisme bagi membantu pihak JPA membuat penilaian terhadap kesesuaian dan kelayakan calon-calon PTD sebelum diperakukan kepada SPA untuk tujuan temu duga dan lantikan ke perkhidmatan awam. Pelaksanaan PAC ini bermula sejak tahun 1999 dengan melibatkan kesemua INTAN kampus wilayah termasuk INTAN Sabah dan INTAN Sarawak.


iii) Temu duga

Tapisan terakhir yang perlu ditempuhi oleh calon-calon sebelum mereka layak diterima sebagai PTD adalah temu duga yang dijalankan oleh pihak SPA. Penilaian calon semasa PAC akan diuruskan oleh Urus setia PAC dengan menyedia dan menyelenggara satu pangkalan data markah. Nama-nama calon akan disusun mengikut keutamaan atau ranking dan kemudiannya akan dibentang serta diserahkan kepada SPA. Hanya mereka yang mendapat penilaian yang tinggi sahaja dan benar-benar berkeupayaan akan dipanggil untuk mengikuti temu duga bagi memasuki ke perkhidmatan PTD.

Carta Pemilihan Dan Pelantikan PTD

1 ulasan:

is berkata...

Assalamualaikum,

maklumat yang sangat infomatif dan berguna untuk bakal-bakal calon PTD. saya ada terbaca satu laman web berkaitan PTD ni... mungkin sesiapa yang ingin maklumat yang lebih terperinci dan detail boleh beli ebook yang ditawarkan di http://panduanptd.com