Rabu, 10 September 2008

Wanita jadi tebusan mati ditikam

SHAH ALAM: Seorang wanita yang dijadikan tebusan oleh dua perompak di rumahnya sendiri di Seksyen 13, di sini, ketika bersahur pagi semalam, meninggal dunia di sebuah pusat perubatan swasta ketika dirawat akibat ditikam dan dikelar pada badan. Kedua-dua perompak itu, bagaimanapun ditembak mati sepasukan polis dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor dan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam selepas mencederakan mangsa dan membakar bilik tidur utama rumah mangsa dalam kejadian jam 8.20 pagi itu. Terdahulu, mangsa dipercayai pemilik syarikat pelancongan, Triways, Raja Noriana Raja Ahmad, 41, dijadikan tebusan selama kira-kira tiga jam bermula jam 5 pagi selepas penjenayah warga Indonesia itu menyedari rumah mangsa dikepung polis.
Ketua Polis Selangor, Datuk Khalid Abu Bakar, berkata pada jam 4.45 pagi semalam, polis menerima maklumat mengenai cubaan menyamun rumah yang diduduki mangsa bersama suaminya, seorang pesara kerajaan dan dua anak perempuannya, berjaya menahan dua lagi penjenayah, dipercayai warga Indonesia yang cuba memasuki rumah mangsa. Bagaimanapun, dua lagi perompak yang sudah memasuki rumah mangsa melalui ruang pengudaraan bilik mandi di tingkat bawah rumah itu menyedari kedua-dua rakan mereka ditahan dan bertindak menjadikan Raja Noriana sebagai tebusan ketika mangsa bersama suami cuba melarikan diri dari rumah itu. Suami mangsa berusia dalam lingkungan 60-an berjaya keluar dari pintu depan, manakala kedua-dua anak perempuannya yang masing-masing berusia 18 tahun dan 20 tahun, melompat keluar daripada tingkap bilik tidur belakang di tingkat atas rumah dua tingkat itu.
Seorang daripada anak mangsa patah tulang pinggang, manakala seorang lagi cedera ringan ketika melarikan diri. Khalid berkata, polis menyerbu rumah itu dan menembak mati kedua-dua suspek sebaik bilik utama rumah itu dibakar suspek. Katanya, mangsa yang masih hidup ketika itu cedera ditikam di dada, belakang badan dan dikelar di rusuk kiri. Beliau berkata, Raja Noriana kemudian dikejarkan ke sebuah pusat perubatan swasta di sini sebelum disahkan meninggal dunia kira-kira jam 9.25 pagi.
Katanya, polis menemui sepucuk pistol jenis Smith and Wesson .32 mm yang dicampak seorang suspek dalam tandas di rumah itu dan beberapa bilah parang, pisau serta pemotong besi. Beliau berkata, pistol itu dikesan dicuri daripada seorang penjawat awam dalam satu rompakan di sebuah rumah di Seksyen 3, di sini, 3 September lalu. Berdasarkan kad pengenalan yang ditemui pada penjenayah ditembak mati itu, mereka dikenali sebagai Mojid Ridwan dari Jambi, Indonesia dan Abd Sugiono dari Asahan, Indonesia. Khalid berkata, polis percaya, selain empat penjenayah itu, ada dua lagi rakan mereka yang berada di tempat kejadian ketika polis tiba di situ, tetapi mereka berjaya melarikan diri. “Hasil pemeriksaan mendapati suspek yang ditembak mati dan ditahan itu dipercayai daripada kumpulan sama yang terbabit dalam enam kes samun di Lembah Klang dan Negeri Sembilan. Polis kini memburu dua lagi suspek yang melarikan diri,” katanya. Selain itu, katanya, keluarga mangsa baru berpindah ke rumah itu sebulan lalu dan belum ada jiran lain di kawasan itu.

Tiada ulasan: