Rabu, 24 September 2008

Penjawat awam jangan terima hadiah – BPR

PUTRAJAYA 23 Sept. – Badan Pencegah Rasuah (BPR) mengingatkan semua penjawat awam agar tidak menerima hadiah daripada mereka yang bertujuan mendapat balasan atau keistimewaan membabitkan tugas dan kuasa pada musim perayaan ini.
Dalam kenyataannya hari ini, BPR mengingatkan pegawai awam supaya melaporkan kepada pihak berkuasa jika pemberian hadiah tersebut mempunyai unsur rasuah.
Menurutnya, Seksyen 165 Kanun Keseksaan dan Seksyen 11(a) Akta Pencegahan Rasuah 1997 secara jelas melarang pegawai awam atau swasta menerima hadiah daripada mereka yang mempunyai kaitan dengan tugasnya.
‘‘Selain itu, semua penjawat awam tertakluk kepada Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993 iaitu melarang mereka daripada menerima atau memberikan hadiah sekiranya berkaitan dengan tugas mereka,’’ ujar kenyataan itu lagi.
Garis Panduan Pemberian Hadiah dan Penerimaan Hadiah Dalam Perkhidmatan Awam 1998 turut menjelaskan bahawa dalam keadaan yang menyebabkan sukar bagi seseorang pegawai untuk menolak sesuatu hadiah, mereka perlu mengemukakan laporan bertulis kepada ketua jabatannya sama ada dibenarkan menerima pemberian itu atau sebaliknya.
‘‘Kerajaan memandang serius gejala pemberian dan penerimaan hadiah atau keraian terutama di musim perayaan ini.
‘‘ Ini kerana jika ia dibiarkan berlaku di kalangan penjawat awam tanpa batasan, ia boleh berkembang menjadi rasuah apabila pemberian hadiah dan keraian menjadi kemestian yang melibatkan urusan rasmi,” menurutnya.
Selaras dengan itu, BPR mengingatkan semua ketua jabatan agar memberi perhatian terhadap gejala tersebut dan membuat laporan apabila ditawarkan hadiah yang mempunyai kaitan dengan tugas rasmi.
Dalam hal ini, BPR akan membuat pemantauan ke atas ketua-ketua jabatan berkaitan dengan laporan mereka berhubung penerimaan hadiah supaya Peraturan-Peraturan Pegawai Awam 1993 akan sentiasa dipatuhi.
Tambahnya, Seksyen 17 Akta Pencegahan Rasuah 1997 menyatakan, apabila seseorang penjawat awam ditawarkan dengan apa-apa suapan termasuk hadiah secara rasuah maka dia dikehendaki segera melaporkannya kepada BPR.

Tiada ulasan: